BUDI95: Pemuda Pas ulangi retorik kosong tanpa solusi – Mahfuz

Iklan
Mahfuz Omar

ALOR SETAR – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan Pemuda Pas berhubung pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang disifatkannya sebagai retorik politik tanpa sebarang cadangan konkrit.

Menurutnya, kritikan yang dilemparkan oleh sayap muda parti pembangkang itu hanya mengulangi naratif lama yang bersifat membangkang semata-mata tanpa mengemukakan pelan alternatif yang realistik untuk menangani isu subsidi bahan api.

Iklan
Iklan

“Pemuda Pas sekadar tahu membebel dan melabel, tetapi apabila ditanya bagaimana subsidi boleh diagih dengan lebih baik, mereka gagal memberikan jawapan. Mekanisme elak ketirisan pun tiada, strategi fiskal jangka panjang pun tidak dikemukakan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menyifatkan tindakan Pemuda Pas sebagai tidak bertanggungjawab apabila menuduh kerajaan gagal dalam pelaksanaan BUDI95, sedangkan mereka sendiri tidak pernah membentangkan pelan yang lebih baik ketika berada dalam kerajaan.

Iklan

“BUDI95 bukan dasar yang sempurna, tetapi ia adalah langkah transisi ke arah reformasi subsidi yang lebih adil dan mampan. Subsidi pukal yang diamalkan sebelum ini hanya membocorkan kewangan negara, dan Pas sendiri tidak pernah berani mengubahnya ketika mereka berkuasa,” tegasnya.

Tambahnya, generasi muda dalam politik seharusnya tampil dengan idea dan dasar yang rasional untuk rakyat, bukannya sekadar bermain sentimen dan retorik kosong.

Iklan

“Jangan jadi macam tin biskut raya lepas Syawal, bising bila digoncang, tapi isinya kosong. Jangan juga jadi seperti pasukan bola yang pandai jerit dari tepi padang, tapi bila masuk padang, cari bola pun tak jumpa,” sindirnya.

Mahfuz menegaskan bahawa kerajaan kini sedang berusaha memperbaiki sistem subsidi agar lebih bersasar dan berkesan, dan semua pihak seharusnya menyumbang kepada perbincangan dasar secara matang, bukan sekadar menangguk di air keruh.

Terdahulu media melaporkan, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan BUDI95 dasar populis sementara yang gagal menyelesaikan masalah fiskal, gagal menutup ruang ketirisan dan gagal berlaku adil kepada rakyat.