SHAH ALAM – Sekurang-kurangnya tujuh dron dikesan mengekori misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza pada Jumaat.
Peserta GSF, Rahim Azhari berkata, dron bersaiz kecil itu dipercayai digunakan untuk memantau pergerakan flotila berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada insiden tidak diingini berlaku setakat ini dan semua peserta GSF kekal berwaspada.
“Anda boleh dengar bunyi beberapa dron, ia membuatkan bulu roma meremang. Beberapa dron sedang berlegar di sekitar bot GSF.
“Kadang-kadang ia terbang tinggi, kadang-kadang rendah. Ia adalah dron pemantau kerana saiznya kecil,” katanya menerusi hantaran video di Instagram pada Jumaat.
Pada Khamis, GSF menyatakan bahawa mereka akan meneruskan usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza meskipun terdapat laporan bahawa Israel mungkin melancarkan serangan ganas terhadap flotilla tersebut dalam tempoh 48 jam akan datang.
Ahli Jawatankuasa Pemandu GSF, Yasemin Acar berkata, flotilla itu akan terus belayar tanpa sebarang hentian teknikal walaupun telah diserang hebat pada Selasa lalu.
Menurutnya, flotilla tersebut membawa bekalan kemanusiaan bersama ratusan pemerhati hak asasi manusia, peguam, ahli Parlimen, serta pelakon lelaki dan wanita, tanpa sebarang unsur keganasan.
Rahim menambah, dron sering dilihat mengekori pelayaran mereka hampir setiap malam sekali gus meningkatkan kebimbangan kemungkinan Israel melancarkan serangan.
“Kita mesti berhati-hati, bukan sahaja dengan dron di udara tetapi juga dengan apa yang mungkin berada di perairan sekitar bot kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkongsi bahawa empat buah kapal bantuan kemanusiaan dijadualkan berlayar pada jam 9.30 malam ini dari Sicily, Itali menuju ke Gaza.
Menurutnya, beliau kini berada di atas kapal induk atau 'motherboard' yang sarat dengan muatan makanan, bekalan air serta bahan bakar.
“Semua ini akan digunakan bukan sahaja untuk sokongan perjalanan tetapi juga bagi memastikan kapal-kapal lain dalam armada dapat mara dengan lancar.
“Kami merupakan barisan belakang armada. Namun, insya-ALLAH kami akan berusaha bersama-sama mereka di barisan hadapan agar dapat menembusi bumi Gaza. Sekiranya ALLAH memberikan ruang, kami akan terus maju bersama,” katanya penuh tekad menerusi hantaran video di Facebook pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa di belakang kapal induk itu, terdapat tiga lagi kapal iaitu Familia, X1 dan Asia yang akan bergerak bersama sebagai satu pasukan dengan koordinasi dan sokongan dibimbing dari Malaysia.
Misi GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta menjadikan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.