Ladang, jeti jadi pot dadah digempur polis

Iklan
JSJN Selangor melaksanakan Op Tapis di baru-baru ini. - Foto: Polis Selangor. Gambar kecil: Shazeli

SHAH ALAM – Polis Selangor menggempur beberapa hotspot penagihan dadah di kawasan ladang, jeti serta penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan berjaya menahan 580 individu menerusi operasi khas baru-baru ini.

Operasi Op Tapis selama tiga hari bermula 22 September itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor hasil maklumat serta risikan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sepanjang tempoh operasi, sebanyak 450 serbuan dijalankan dan pihaknya merekodkan 508 kes serta 580 tangkapan termasuk 28 wanita atas pelbagai kesalahan dadah.

Menurutnya, semua yang ditahan berusia antara 14 hingga 70 tahun.

Iklan
JSJN Selangor melaksanakan Op Tapis di baru-baru ini. - Foto: Polis Selangor

“Dalam operasi ini, sebanyak 646.3 gram dan 2,315.3 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM35,081 berjaya dirampas.

“Rampasan dadah membabitkan heroin (193.58 g), ganja (232.48 g), ketamin (1 g), pil yaba (1.35 g), pil Eramin 5 (4.98 g), serbuk ekstasi (65 g) dan air ketum (2,315.3 liter),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, JSJN Selangor turut menyita tiga buah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah.

Selain itu, katanya, pihaknya juga berjaya menahan 32 individu yang dikehendaki.

“Objektif utama operasi ini adalah untuk mengesan serta menangkap pengedar dan penagih dadah, di samping menurunkan kadar indeks jenayah di Selangor. Operasi ini juga dapat meningkatkan kadar pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap penagih berulang,” ujarnya.

Shazeli menegaskan, secara keseluruhan operasi ini berjaya mencapai objektif dengan mengurangkan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di Selangor.

“JSJN Selangor akan meneruskan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan ancaman dadah dapat dibendung dengan lebih berkesan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 6, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985; serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.