SPRM giatkan siasatan guna kepakaran, teknologi terkini - Azam Baki

Iklan
Azam ketika hadir mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Bil 1 Tahun 2025 (Onboarding Session) di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaksimumkan penggunaan tenaga kerja dan kepakaran sedia ada dengan mengaplikasikan teknologi dalam siasatan kes-kes rasuah semasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, hala tuju dan strategi SPRM bagi tahun ini memberi tumpuan terhadap perolehan kerajaan, sektor penguatkuasaan, dana awam atau peruntukan khas kerajaan, serta hasil dan pendapatan negara.

Iklan
Iklan

“Objektif mesyuarat ini adalah untuk memberikan gambaran menyeluruh berkenaan struktur organisasi, hala tuju dan strategi SPRM dalam mendepani cabaran memerangi rasuah di negara ini.

“Ini agar isu serta cadangan yang bakal dikemukakan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dalam Buku Ulasan LPPR adalah selari dengan hala tuju, strategi SPRM dan agenda nasional,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Bil. 1 Tahun 2025 (Onboarding Session) di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada Khamis.

Iklan

Dalam mesyuarat itu, Azam turut menerangkan fungsi SPRM sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009 serta Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028.

Sementara itu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berharap agar mesyuarat LPPR dapat menjadi platform untuk menyuarakan apa-apa isu yang bersesuaian dengan peranan badan-badan pemantau bebas sebagai mekanisme semak dan imbang kepada SPRM.

Iklan

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan SPRM melaksanakan mandatnya dengan penuh ketelusan, profesionalisme serta kebebasan mutlak daripada sebarang tekanan.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim turut membuat pembentangan berkaitan struktur organisasi, hala tuju, strategi pelaksanaan fungsi serta pencapaian SPRM kepada ahli LPPR yang baharu.

Turut diadakan ialah sesi pembentangan oleh panel badan pemantau bebas SPRM iaitu Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO), Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham; Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Datin Yasmin Ahmad Merican; serta Ahli Jawatankuasa Aduan, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.