BUDI95: Jangan gopoh pada 30 September, kata Anwar

Iklan
Anwar menasihatkan rakyat supaya tidak panik atau terburu-buru membuat pembelian petrol pada 30 September. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan rakyat supaya tidak panik atau terburu-buru membuat pembelian petrol pada 30 September kerana harga RON95 kekal pada kadar RM1.99 seliter selepas pelaksanaan penuh Program Bantuan Subsidi Madani RON95 (BUDI95).

Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar itu dibuat secara berperingkat dan tidak akan menjejaskan bekalan bahan api di stesen minyak.

Iklan
Iklan

“Saya minta rakyat bertenang, jangan gopoh. Harga RM1.99 itu kekal. Tidak perlu beratur panjang atau simpan minyak kerana tiada perubahan harga selepas 30 September,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, pada Jumaat.

Menurut Anwar, kumpulan pertama yang menikmati manfaat BUDI95 ialah anggota polis dan tentera pada 27 September, diikuti lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September.

Iklan

“Selepas itu baharu kita laksanakan kepada rakyat keseluruhan pada 30 September,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata,  langkah berperingkat itu diambil bagi mengelak gangguan sistem dan memastikan semua pihak menerima manfaat dengan teratur.

Iklan

Beliau memberi jaminan bahawa kapasiti pelayan (server) BUDI95 mampu memproses lebih 30,000 transaksi seminit, sekali gus mengelakkan masalah teknikal seperti yang berlaku semasa pelaksanaan SARA.

“Kita belajar daripada pengalaman lalu. Kita tidak mahu berlaku gangguan sehingga rakyat tidak dapat menikmati subsidi,” katanya.