Kejayaan pelaksanaan BUDI95 hasil hasil tatakelola cekap: PM

Iklan
Kejayaan Program Bantuan Subsidi Madani RON95 (BUDI95) dapat dilaksana selepas kerajaan memperkukuh tatakelola, memperbaiki sistem perolehan dan mengurangkan ketirisan. Gambar Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kejayaan Program Bantuan Subsidi Madani RON95 (BUDI95) dapat dilaksana selepas kerajaan memperkukuh tatakelola, memperbaiki sistem perolehan dan mengurangkan ketirisan.

Berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF), beliau berkata langkah menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter merupakan bukti kerajaan mampu mengurus fiskal negara dengan lebih cekap walaupun berdepan cabaran kenaikan harga minyak dunia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, reformasi seperti tender terbuka, usaha membanteras rasuah dan penyelarasan dasar kewangan telah meletakkan asas kukuh untuk melaksanakan program subsidi bersasar tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Bukan semua negara mampu melakukannya. Hanya selepas kita memperbaiki tatakelola, memperkukuh penguatkuasaan dan mengelak ketirisan, barulah kita yakin memperkenalkan BUDI95,” katanya di sini pada Jumaat.

Iklan

Anwar berkata, walaupun Arab Saudi sebagai pengeluar minyak utama pernah menawarkan harga serendah 50 sen seliter pada 2013, harga minyak di negara itu kini melonjak antara RM2.60 hingga RM2.90 seliter, manakala Qatar sebagai pengeluar minyak dan gas turut menetapkan harga lebih tinggi daripada Malaysia.

“Jawapannya ialah kerana kita mulakan dengan tatakelola yang baik. Di sini saya ingin ucap terima kasih kepada Menteri Kewangan II, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan semua rakan-rakan yang menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Iklan

Mengulas mengenai isu kuota subsidi petrol, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan keputusan menetapkan had 300 liter dibuat selepas penelitian mendalam berdasarkan data penggunaan rakyat.

“Cadangan asal ialah 250 liter kerana 98 peratus rakyat menggunakan sekitar 200 hingga 220 liter sebulan.

"Namun selepas perbincangan di Kementerian Kewangan dan Jemaah Menteri, kerajaan naikkan lagi ke 300 liter supaya jangan jadi isu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan serius membanteras kelompok kecil dalam jabatan kerajaan yang masih terlibat dengan rasuah dan menyebabkan imej penjawat awam tercemar.

“Kita tidak boleh biarkan barah ini. Namun ia tidak mewakili majoriti penjawat awam yang bekerja keras memastikan dasar dilaksana dengan berkesan,” ujarnya.