KES terbaru di Kelantan yang mendedahkan 90 peratus kes rogol bawah umur berlaku secara suka sama suka telah mengundang polemik besar dalam masyarakat.
Statistik ini mengejutkan kerana ia memperlihatkan realiti sosial remaja yang semakin berani menongkah norma, namun pada masa sama membuka persoalan tentang kesesuaian undang-undang sedia ada yang lebih cenderung menghukum lelaki semata-mata.
Seksyen 375 Kanun Keseksaan menetapkan bahawa seks dengan perempuan bawah umur 16 tahun dikira rogol walaupun dilakukan secara suka sama suka. Hukumannya, penjara hingga enam tahun.
Pendakwaan selalu tertumpu pada lelaki, walaupun kedua-duanya bawah umur. Perempuan bawah umur pula dianggap mangsa, bukan pesalah jadi mereka dilepas dari sudut perundangan jenayah.
Pakar undang-undang menegaskan bahawa menurunkan had umur persetujuan seks daripada 16 tahun bukanlah jalan keluar. Sebaliknya, langkah itu hanya membuka ruang lebih luas kepada eksploitasi orang dewasa terhadap kanak-kanak.
Di peringkat antarabangsa, beberapa negara seperti Kanada dan beberapa negeri di Amerika Syarikat telah memperkenalkan Romeo and Juliet Law undang-undang khas yang membezakan antara hubungan suka sama suka sesama remaja dengan jenayah eksploitasi oleh orang dewasa.
Undang-undang ini memberi pengecualian atau kelonggaran hukuman dalam kes hubungan seksual sesama remaja yang hampir sebaya umurnya.
Dalam dimensi Islam, para ulama menegaskan bahawa hubungan seks luar nikah, sama ada suka sama suka atau tidak, tetap zina. Malah, tokoh seperti Yusuf al-Qaradawi berpandangan bahawa isu ini harus ditangani melalui pendidikan, kaunseling dan pencegahan bukan sekadar pendekatan undang-undang keras atau dilepaskan begitu sahaja.
Justeru, sudah tiba masanya gadis yang terlibat dalam hubungan seks bawah umur turut dipertanggungjawabkan dari segi undang-undang, tetapi bukanlah dengan pemenjaraan, sebaliknya menggunakan pendekatan berbentuk rehabilitasi.
Di negara maju, bentuk hukuman mandatori ini termasuk kaunseling berstruktur, khidmat komuniti antara 50 hingga 200 jam, serta program pendidikan seksual berperingkat. Model ini terbukti lebih membina.
Kita harus menyesuaikan undang-undang dengan realiti. Kita tidak boleh sekadar menutup mata. Hakikatnya seks suka sama suka bawah umur sedang meruntuhkan perlahan-lahan masa depan bangsa.