GURAUAN biasanya dianggap sebagai sesuatu yang menghiburkan, merapatkan hubungan rakan dan mengurangkan tekanan khususnya dalam kalangan remaja serta pelajar.
Bagaimanapun, jika dilakukan secara keterlaluan tanpa memikirkan risiko, ia boleh bertukar menjadi tragedi yang tidak dijangka.
Beberapa kes sebelum ini membuktikan ‘gurauan melampau’ tidak boleh dipandang ringan.
Tragedi seorang remaja lelaki yang meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 pada 2022, misalnya, dikaitkan dengan gurauan tidak bertempat sehingga meragut nyawa.
Apa yang memilukan, Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, ditemui rentung di dalam sebuah tandas awam berhampiran padang dipercayai akibat gurauan dua rakannya.
Terbaharu, isu pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang tular di media sosial kembali membuka mata masyarakat tentang sempadan gurauan.
Walaupun pihak polis mengesahkan ia hanya gurauan antara rakan sempena sambutan hari lahir pelajar institusi terbabit pada 19 September lalu, tindakan itu tetap mengundang keresahan ramai.
Kejadian terbabit mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan gurauan melampau juga boleh dianggap sebagai satu bentuk buli, sekali gus semua pelaku wajib didakwa agar menjadi pengajaran penting.
Akhirnya, ‘prank birthday’ pelajar IKBN Miri yang dilakukan sekumpulan pelajar dengan mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang hingga terkena tiang benar-benar membawa padah apabila mereka dikenakan tindakan gantung pengajian selama seminggu bermula Rabu.
Tindakan tegas termasuk pemberhentian serta-merta elaun terhadap tujuh pelajar terbabit dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN membincangkan hukuman sewajarnya.
Langkah itu jelas menunjukkan kementerian sama sekali tidak berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku termasuk buli yang menjejaskan keselamatan pelajar dan mencemarkan nama baik institusi pendidikan.
Hakikatnya, gurauan keterlaluan bukan sekadar perbuatan spontan untuk mencuit hati, sebaliknya ia boleh mencetuskan rasa terhina, terpinggir dan kadangkala mendatangkan kecederaan.
Lebih membimbangkan, ia juga boleh mengakibatkan insiden yang meragut nyawa seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Dari sudut tertentu, budaya bergurau yang sihat memang digalakkan, tetapi apabila ia menjurus kepada memperlekehkan, mempermainkan maruah atau mendatangkan ketakutan, maka ia sudah menjejaskan keselamatan pelajar lain.
Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan bermula daripada pelajar, ibu bapa, pendidik malah rakan-rakan.
Jika melihat gurauan mula melampaui batas, jangan berdiam diri. Kita perlu menegur, melaporkan atau menghalang sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini, bukannya sekadar menjadi ‘penonton’.
Bagi remaja pula, penting untuk memahami bahawa tidak semua orang boleh menerima gurauan dengan cara yang sama.
Apa yang dianggap lucu oleh seorang mungkin menyakitkan hati orang lain, sekali gus kesedaran itu perlu dipupuk agar budaya hormat-menghormati lebih diutamakan berbanding kepuasan berjenaka.
Oleh itu, nasihat terbaik adalah bergurau biarlah berpada-pada dan tidak sampai melampaui batas hingga mengundang kecederaan, trauma apatah lagi meragut nyawa.
Ingatlah, sekali gurauan bertukar tragedi, penyesalan tiada guna lagi.