SHAH ALAM – Pemandu e-hailing mesti memenuhi syarat-syarat ditetapkan termasuk mempunyai profil ID pemandu sah bagi memastikan pelaksanaan inisiatif Budi Madani (BUDI95) benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) berkata, syarat itu selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang turut menetapkan penerima mesti memiliki Lesen Memandu Kenderaan Awam (PSV), insurans e-hailing sah serta Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) sah.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan hanya kumpulan layak menerima subsidi tersebut, sekali gus mengelakkan sebarang ketirisan termasuk tuntutan berganda melalui pelbagai syarikat yang boleh menjejaskan kewangan negara.
"Kami turut menggesa kerajaan melaksanakan kajian bagi mengawal pendaftaran pemandu e-hailing dan p-hailing baharu untuk memastikan tiada individu mengambil kesempatan mendaftar sebagai penggiat industri bagi menyalahgunakan subsidi bersasar untuk kepentingan peribadi.
“Selain itu, kawalan berkenaan juga dapat mengurangkan lambakan pemandu dan penghantar dalam sektor tersebut yang turut memberi kesan kepada pendapatan mereka di lapangan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Justeru, Penghantar merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap sektor e-hailing dan p-hailing menerusi pelaksanaan skim berkenaan.
"Langkah proaktif itu bukan sahaja meringankan beban penggiat industri, malah membuktikan kerajaan mendengar maklum balas daripada akar umbi yang menjadi sebahagian ekosistem ekonomi negara," tambah kenyataan itu.
Persatuan tersebut turut menegaskan komitmen untuk terus menjadi suara rasmi penggiat sektor, selain bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan pekerja gig sentiasa terpelihara.