Empat hari mencabar buat misi GSF

Iklan
Antara bot yang menyertai Global Sumud Flotilla berlepas dari pelabuhan Bizerte di utara Tunisia menuju ke Semenanjung Gaza. Foto AFP

SHAH ALAM - Global Sumud Flotilla (GSF) kini memasuki hari kelapan pelayaran dan dijangka tiba di Gaza dalam tempoh empat hari lagi sekiranya tidak berdepan sebarang halangan besar.

Perjalanan itu bukan sekadar misi kemanusiaan, tetapi risiko keselamatan susulan beberapa kapal GSF yang terpaksa mengubah haluan di sekitar Tebing Crete, Greece untuk mengelak ombak besar dan angin kencang.

Iklan
Iklan

Faktor cuaca di Laut Mediterranean sememangnya antara ujian besar bagi bot layar kecil yang menyertai flotilla apabila keadaan laut bergelora yang bukan sahaja menguji ketahanan kapal, malah memberi kesan kepada stamina anak kapal yang perlu terus berjaga dan mengawal perjalanan.

Selepas keluar dari perairan Greece, flotilla bakal memasuki kawasan antarabangsa zon kuning yang menjadi laluan paling mencabar kerana berpotensi berdepan secara langsung dengan tentera laut Israel (IDF).

Iklan

Laporan sebelum ini membuktikan rejim Zionis tidak pernah berkompromi dengan sebarang konvoi bantuan yang cuba menembusi kepungan Gaza.

Peserta misi perlu sentiasa bersiap sedia dengan risiko dipintas, ditahan dan berkemungkinan berlaku tindakan ganas seperti yang pernah tercatat dalam sejarah flotilla sebelum ini.

Iklan

Sejak lebih sedekad lalu, beberapa misi antarabangsa pernah dilancarkan untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laut dan antara yang paling diingati adalah tragedi Mavi Marmara pada tahun 2010.

Kapal Mavi Marmara merupakan antara konvoi beberapa kapal yang membawa kira-kira 700 sukarelawan dari 40 buah negara.

Kapal itu meninggalkan Pelabuhan Antalya, Turki menuju ke titik pertemuan semua kapal konvoi di perairan antarabangsa di selatan Pulau Cyprus pada 28 Mei 2010.

Tentera Israel dilapor menyerbu kapal terbesar dalam flotilla itu, mengakibatkan sembilan aktivis terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Rentetan itu, beberapa konvoi lain seperti Freedom Flotilla turut cuba menembusi kepungan, namun kebanyakannya dihalang dan kapal dirampas sebelum tiba di pesisir Gaza.

Walaupun misi gagal berlabuh di kawasan bergolak itu, namun ia tetap meninggalkan kesan kerana berjaya membuka mata dunia terhadap sekatan kejam yang dikenakan Israel.

Gerakan GSF yang disertai lebih 50 kapal awam kali ini membawa misi jelas iaitu menyalurkan bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan kanak-kanak.

Sekiranya GSF berjaya membuka laluan atau memaksa perbincangan diplomatik, ia boleh menjadi titik tolak kepada pembukaan koridor kemanusiaan yang lebih besar.

Inilah harapan utama iaitu bukan sekadar untuk sampai, tetapi memberi tekanan antarabangsa agar sekatan kejam ke atas Gaza dihentikan.

Empat hari mendatang akan menjadi detik paling mencabar buat GSF, sama ada konvoi berjaya menjejak kaki di Gaza atau ditahan di tengah lautan.

Misi itu sudah pun membawa mesej besar kepada dunia bahawa rakyat Gaza tidak pernah dilupakan.

Konflik di Gaza yang bermula sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin dan menyebabkan kemusnahan besar serta krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

Flotilla ini menjadi saksi usaha masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada penduduk Gaza yang terputus hubungan dengan dunia luar akibat sekatan.