Lelaki tembak kekasih, buang bayi ke dalam sungai dipenuhi buaya

Iklan
Mayat mangsa tidak pernah ditemui sehingga kini. Foto Agensi

MEMPHIS – Seorang lelaki di Amerika Syarikat didakwa membunuh teman wanitanya sebelum mencampakkan bayi perempuan mereka yang baru berusia dua hari ke dalam Sungai Mississippi, kawasan yang dipenuhi buaya.

Tertuduh, Brandon Isabelle, 28, berdepan dua pertuduhan membunuh peringkat pertama, penderaan serta pengabaian kanak-kanak yang serius, dan penculikan teruk.

Iklan
Iklan

Menurut pihak pendakwaan, Isabelle telah memujuk kekasihnya, Danielle Hoyle, 27, untuk bertemu di Memphis, Tennessee pada Februari 2022 bersama bayi mereka, Kennedy.

Isabelle kemudian menembak mati Hoyle sebelum membawa bayi tersebut ke kawasan utara Pulau Mud, lokasi Sungai Wolf bertemu Sungai Mississippi dan mencampakkannya ke dalam air kerana 'tidak mahukannya'.

Iklan

Mayat Kennedy tidak pernah ditemui sehingga kini.

Polis mula mengesyaki Isabelle selepas mayat Hoyle ditemui bersebelahan sebuah kereta ditinggalkan. Tertuduh ditahan tidak lama kemudian.

Iklan

Bulan lalu, Isabelle dilaporkan mengaku dalam rakaman video kepada penyiasat bahawa dia menembak kepala Hoyle di persimpangan Levi dan Sedgewick sebelum membuang bayi mereka ke dalam sungai.

Pendakwa raya, Dru Carpenter dalam hujah pembukaan kes pada Selasa lalu berkata, Isabelle ketika itu menjalinkan hubungan dengan wanita lain dan mahu bersama kekasih baharunya itu. Malah, Isabelle dan wanita tersebut dipercayai bertemu di Pulau Mud sebelum pembunuhan berlaku.

Isabelle bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan.

Perbicaraan kes berprofil tinggi ini bermula pada Selasa petang (24 September 2025). - Agensi