JOHOR BAHRU – Kerajaan digesa mempertimbangkan semula mekanisme pemberian subsidi petrol RON95 (BUDI95) supaya pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura tidak diketepikan daripada menerima manfaat tersebut.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, ramai pekerja rentas sempadan tidak layak menerima subsidi kerana telah menukar lesen memandu mereka kepada lesen Singapura.
“Walaupun mereka masih warganegara Malaysia dan setiap hari pulang ke tanah air untuk mengisi minyak, mereka tidak layak menerima subsidi RON95 RM1.99 hanya kerana menukar lesen memandu.
“Kebanyakan mereka berbuat demikian atas keperluan pekerjaan, bukan kerana tidak mempunyai lesen sah.
"Malangnya, mereka kini terkeluar daripada sistem subsidi ini walaupun tetap menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Naib Pengerusi PKR Johor itu, seterusnya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan mekanisme pendaftaran khas, sama seperti sistem pengecualian untuk pemandu e-hailing, supaya pekerja rentas sempadan boleh memohon dan mendapat subsidi dengan pihak berkuasa berkenaan.
Katanya, pada masa sama, sistem berkenaan perlu mempunyai saringan yang baik bagi mengelakkan penyalahgunaan.
“Mereka tetap rakyat Malaysia dan berhak mendapat manfaat seperti rakyat lain. Semoga kerajaan dapat meneliti isu ini dengan hati terbuka,” katanya.
Dianggarkan lebih 1.18 juta rakyat Malaysia kini bekerja di Singapura, dengan kira-kira 300,000 hingga 400,000 antara mereka yang merentas sempadan setiap hari.
Sistem kepada Program Budi Madani RON95 (BUDI 95) hanya dibuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah sahaja.
Tegas Kementerian Kewangan (MoF), sekiranya hanya warga tempatan tetapi tidak memiliki lesen sah, individu berkenaan tidak layak menikmati kadar subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Bermula Sabtu ini, anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama menikmati harga baharu sebagai langkah percubaan.
Golongan B40 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula akan menerima manfaat pada 28 September sebelum dibuka kepada semua warganegara pada 30 September.
Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.