SHAH ALAM - Tindakan pihak berkuasa meroboh pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di daerah Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang, Kelantan bukanlah usaha menutup rezeki penduduk.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebaliknya usaha itu adalah langkah baik mengekang kes-kes jenayah membabitkan penyeludupan.
"Apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan (Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan) boleh kata ini pekerjaan atau sumber rezeki, memang kita tepuk dahi.
"Ini pengkalan haram, laluan utama penyeludupan dadah, rokok, senjata, benda yang merosakkan anak muda Kelantan. Lepas tu nak dijadikan alasan rezeki halal? Apa logik macam ni," katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Nik Nazmi berkata, rakyat tidak akan bergantung kepada aktiviti sempadan yang penuh risiko dan jenayah sekiranya kerajaan negeri pandai menjaga ekonomi.
"Jangan salahkan operasi perobohan. Hendak simpati rakyat biarlah kena tempatnya.
"Jangan sampai nampak macam pertahankan pengkalan haram yang jadi pintu masuk pil kuda. Itu bukan 'cari makan', itu menggadai keselamatan negara dan maruah bangsa," katanya.
Terdahulu Mohamed Fadzli Hassan menyuarakan kebimbangan terhadap nasib rakyat yang mungkin kehilangan sumber pendapatan susulan operasi merobohkan lebih 200 pengkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.
Beliau mengakui tidak semua pengkalan digunakan untuk kegiatan jenayah berikutan penduduk setempat menggunakan untuk menjala ikan, menjalankan perniagaan kecil, atau menghubungkan kekeluargaan antara penduduk di Kelantan dan Pekan Golok, Thailand.