Amanah gesa audit projek baik pulih Jalan Pantai Batu Rakit

Iklan
Jalan sejauh 15 hingga 20 meter di laluan T145 Pantai Batu Rakit yang siap dibaik pulih kembali runtuh. (Gambar kecil: Mohd Hasbie)

KUALA TERENGGANU – Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menggesa kerajaan negeri menjalankan audit menyeluruh terhadap projek baik pulih Jalan Pantai Batu Rakit bernilai hampir RM5 juta yang runtuh selepas digunakan tidak sampai sebulan.

Pengerusinya, Mohd Hasbie Muda berkata, runtuhan itu membuktikan kelemahan dari aspek perancangan, reka bentuk serta kaedah pembinaan yang tidak mengambil kira faktor hakisan pantai dan cabaran alam sekitar.

Iklan
Iklan

"Apa yang lebih mengecewakan, insiden runtuhan tersebut berlaku sebelum projek itu disiapkan sepenuhnya.

"Kejadian ini jelas menunjukkan kelemahan kawalan kualiti dan penyeliaan oleh kerajaan negeri serta kontraktor terlibat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurut beliau, projek di kawasan pantai sepatutnya mengutamakan aspek kejuruteraan perlindungan pesisir dengan penggunaan kaedah yang lebih mampan seperti revetment, konkrit bertetulang dan sistem saliran bersepadu.

Sehubungan itu, katanya, Amanah Terengganu turut mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang gagal menepati piawaian serta memastikan kerja baik pulih dibuat dengan kaedah lebih saintifik dan bukan sekadar tampalan sementara.

Iklan

"Rakyat berhak menikmati infrastruktur yang selamat, tahan lama dan setimpal dengan wang yang dibelanjakan," ujarnya.

Dalam kejadian malam Rabu, jalan sejauh 15 hingga 20 meter di laluan T145 Pantai Batu Rakit yang siap dibaik pulih kembali runtuh.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian disedari anggota ronda cegah jenayah Balai Batu Rakit kira-kira jam 9.30 malam.

Pada Januari lalu, laluan berkenaan pernah terputus selepas dibadai ombak setinggi 2.4 meter ekoran fenomena air pasang besar sebelum kerja baik pulih dimulakan.