SHAH ALAM - Persatuan Haulier Malaysia (AMH) mendesak pihak bertanggungjawab mempercepatkan penyelesaian isu kelewatan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) khususnya di Seksyen 3, Kampung Jawa, Klang yang didakwa menjejaskan fungsi keseluruhan lebuh raya berkenaan.
Setiausaha Eksekutif AMH, Mohamad Azuan Masud berkata, isu itu memerlukan perhatian segera daripada semua pihak berkaitan bagi memastikan kepentingan industri dan rakyat terpelihara.
Jelasnya, ketidakpastian penyelesaian isu pengambilan tanah di Kampung Jawa bukan sahaja menangguhkan pembukaan Seksyen 3, malah turut menjejaskan fungsi keseluruhan Lebuhraya WCE sebagai laluan alternatif utama ke Pelabuhan Klang.
"WCE direka bentuk sebagai rangkaian menyeluruh, namun jika salah satu bahagian tergendala, keseluruhan sistem tidak dapat berfungsi dengan baik.
"Kesan kelewatan ini tidak lagi terhad kepada satu seksyen, sebaliknya merencatkan aliran logistik dari utara ke selatan, termasuk jadual penghantaran ke Pelabuhan Klang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, lebih merisaukan tentang kos ekonomi yang semakin meningkat akibat kelewatan berpanjangan.
"Bagi ahli AMH, kelewatan tersebut telah mewujudkan kos berganda bukan sahaja dari segi peningkatan operasi harian, malah juga kerugian lebih banyak peluang apabila laluan lebih efisien tidak dapat digunakan.
"Setiap hari, ribuan kenderaan muatan berat termasuk lori kontena masih terpaksa menggunakan laluan alternatif seperti Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Persekutuan," tambahnya.
Mohamad Azuan menjelaskan, selain isu kesesakan, pihaknya turut bimbang mengenai peningkatan risiko keselamatan apabila kenderaan berat terpaksa berkongsi jalan sesak dengan pengguna biasa.
"Akibatnya, masa perjalanan menjadi lebih panjang, kos bahan api melonjak dan risiko kemalangan turut meningkat.
"Semua ini akhirnya menekan lagi kos logistik yang akan memberi kesan rantaian kepada harga barangan keperluan rakyat,"jelas beliau.
Tegas beliau, AMH juga berpandangan kelewatan berterusan juga menimbulkan kebimbangan terhadap keyakinan pelabur dan pihak industri terhadap kemampuan negara menyiapkan projek infrastruktur mengikut jadual.
"Apabila tarikh penyelesaian diumumkan namun masih belum tercapai, ia boleh menimbulkan persepsi kurang meyakinkan dalam kalangan pelabur antarabangsa untuk melabur pada masa hadapan," jelas beliau.
Sehubungan itu, AMH menyeru pihak berkuasa mempertimbangkan tindakan sewajarnya berpandukan undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan isu Kampung Jawa.
"AMH juga bersedia untuk bekerjasama dan memberi pandangan mewakili industri pengangkutan haulier demi mencari penyelesaian terbaik," katanya.