BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memilih laluan penerbangan luar kebiasaan ke Amerika Syarikat (AS) dipercayai bagi mengelak risiko ditahan berhubung waran tangkapan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah perang.
CNN melaporkan Netanyahu berlepas dari Tel Aviv pada Rabu malam untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bertemu Presiden Donald Trump.
Menurut laman penjejakan FlightRadar24, pesawatnya tidak melalui beberapa negara Eropah sebaliknya merentasi seluruh Laut Mediterranean dan Selat Gibraltar, hanya singgah seketika di ruang udara Greece dan Itali.
Perdana Menteri Israel itu langsung tidak memasuki ruang udara Perancis dan Sepanyol, sekali gus memanjangkan tempoh penerbangan berkenaan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak menjelaskan sebab laluan luar biasa itu diambil, namun CNN melaporkan permintaan Israel untuk terbang di ruang udara Perancis sebenarnya telah diterima Paris.
Stesen penyiar Israel, Kan, memetik sumber diplomatik yang tidak dinamakan sebagai berkata, Perancis tidak pernah menghalang pesawat Netanyahu, sebaliknya keputusan mengelak Perancis adalah pilihan peribadinya sendiri.
“Namun mereka akhirnya memilih laluan lain dan kami tidak tahu sebabnya,” kata sumber diplomatik Perancis.
Ketika lawatan ke AS Julai lalu, pesawat Netanyahu melalui Greece, Itali dan Perancis, menurut laman penjejakan ADS-B Exchange.
ICC mengeluarkan waran tangkapan terhadap Netanyahu November lalu atas dakwaan jenayah perang dan kemanusiaan. Negara Eropah yang menandatangani perjanjian ICC mempunyai kuasa menahan beliau jika pesawatnya memasuki ruang udara mereka.
Israel dan Amerika Syarikat bukan anggota ICC. - Agensi