Pasangan kekasih dan 'ahli kimia' diberkas, dadah RM3.5 juta dirampas

Iklan
Ab Rahaman menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang akhbar IPK Johor pada Khamis.

JOHOR BAHRU – Kegiatan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah pangsapuri di Taman Delima 2 di sini sebagai lokasi membancuh dadah jenis ekstasi terbongkar susulan penangkapan sepasang kekasih dan seorang lelaki dalam beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pasangan kekasih yang diberkas itu berperanan sebagai pengedar bagi sindiket berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pasangan kekasih itu diberkas ketika menginap di sebuah hotel di Taman Sentosa, di sini dalam serbuan pertama yang bermula pada jam 10.35 malam Sabtu,

"Ketika serbuan di hotel berkenaan, polis turut menemui dan merampas tiga botol berisi cecair disyaki dadah jenis ekstasi sebanyak 1.5 liter.

Iklan

"Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek, polis melakukan serbuan kedua di tepi Jalan Sutera 3, Taman Sentosa dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan.

"Pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan kemudiannya membawa kepada penemuan dua katrij vape mengandungi 4 mililiter cecair disyaki ekstasi serta tiga paket serbuk ekstasi seberat 119.50 gram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Khamis.

Iklan

Difahamkan, suspek pertama dan kedua berperanan sebagai pengedar dadah manakala suspek ketiga adalah individu yang berperanan sebagai 'ahli kimia' yang membancuh dan memproses dadah terbabit.

Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata, polis turut melakukan serbuan ketiga ke atas sebuah apartmen di Taman Delima 2 sebelum menemui pelbagai jenis dadah di dalam rumah sewa berkenaan.

Jelasnya, dadah yang dirampas melibatkan 64 peket serbuk mengandungi dadah ekstasi seberat 4.24 kilogram (kg), 132 botol mengandungi cecair ekstasi (112.22 liter), 67 peket dan 20 bekas mengandungi dadah MDMA (19.79kg), 74 katrij vape mengandungi cecair ekstasi (148 mililiter).

"Selain itu, polis turut merampas enam paket mengandungi 600 biji pil ekstasi, 12 paket serbuk ketamin serta pelbagai peralatan memproses dadah.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah sebanyak 24.42 kg dan 113.87 liter dengan nilai anggaran RM3.49 juta.

"Modus operandi sindiket ialah menjadikan pangsapuri sewa sebagai tempat membancuh dan memproses dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan serta pusat-pusat hiburan," katanya.

Sementara itu, Ab Rahaman berkata, sindiket berkenaan didapati sudah mula aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak Julai lalu, namun ujian air kencing mendapati kesemua suspek yang berusia antara 23 hingga 29 tahun adalah negatif dadah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.