‘Hari paling berdarah’: Protes Gen-Z gegar Ladakh, 4 terbunuh dan puluhan cedera

Iklan
Sebuah kenderaan polis dibakar penunjuk perasaan berhampiran pejabat Parti Bharatiya Janata di Leh pada 24 September 2025. Foto Agensi

LEH – Wilayah Ladakh yang terletak di pergunungan Himalaya kembali bergolak apabila protes yang sebelum ini aman bertukar ganas pada Rabu, menyaksikan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Protes yang dipimpin oleh anak muda generasi Z itu tercetus selepas peserta membakar pejabat parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) milik Perdana Menteri India, Narendra Modi di Leh, ibu wilayah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut penyelaras protes, pertembungan antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan berlaku selepas pihak berkuasa menghantar tambahan anggota tentera ke kawasan tersebut. Polis juga mengesahkan puluhan anggotanya turut cedera.

Sejak enam tahun lalu, ribuan penduduk Ladakh mengadakan bantahan secara aman termasuk berarak dan mogok lapar menuntut status negeri serta perlindungan khas perlembagaan.

Iklan

Bagaimanapun, pada Rabu, sekumpulan belia yang kecewa bertindak meninggalkan tapak mogok lapar dan menyerbu bangunan rasmi serta pejabat BJP sambil melaungkan slogan, sehingga mencetuskan keganasan.

Seorang pendidik terkenal, Sonam Wangchuk yang mengetuai siri mogok lapar berkata, “Ini adalah letusan kemarahan belia, seakan revolusi Gen-Z yang membawa mereka ke jalanan. Mereka sudah hilang keyakinan bahawa cara aman akan berhasil.”

Iklan

Penyelaras utama mogok lapar, Jigmat Paljor, menyifatkan insiden itu sebagai “hari paling berdarah dalam sejarah Ladakh.”

“Mereka membunuh anak muda kami orang awam yang berada di jalanan menyokong tuntutan hak kami. Rakyat sudah bosan dengan janji palsu selama lima tahun,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri India dalam kenyataan pula menyifatkan pertembungan berlaku selepas 'rusuhan' dicetuskan penunjuk perasaan, menyebabkan lebih 30 anggota keselamatan cedera. Polis mendakwa mereka terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri sehingga menyebabkan 'beberapa korban jiwa.'

Kerajaan India turut menuding jari kepada Wangchuk, menuduh beliau mencetuskan sentimen belia dengan merujuk kepada 'Arab Spring' dan kebangkitan Gen-Z di Nepal.

Namun, Wangchuk menegaskan beliau hanya memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan mendengar tuntutan boleh mencetuskan kemarahan, dan menolak dakwaan beliau menggalakkan keganasan.

Pada 2019, kerajaan Modi memansuhkan status separa autonomi Jammu dan Kashmir, sekali gus memisahkan Ladakh sebagai wilayah persekutuan tanpa dewan undangan negeri.

Penduduk Ladakh yang terdiri daripada majoriti suku kaum berdaftar (Scheduled Tribes) menuntut wilayah mereka dimasukkan ke dalam Jadual Keenam Perlembagaan India, yang memberikan kuasa autonomi dan perlindungan khas kepada komuniti pribumi.

Ketiadaan status itu menyebabkan peluang pekerjaan dalam sektor awam semakin sempit, selain menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan identiti budaya dan hak masyarakat tempatan.

Selain faktor dalaman, Ladakh mempunyai kepentingan strategik kerana bersempadan dengan China sepanjang 1,600 kilometer. Pada 2020, wilayah itu menjadi lokasi pertempuran berdarah antara tentera India dan China yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 anggota India dan empat tentera China.

Seorang penganalisis politik dari Leh, Siddiq Wahid berkata, “Dalam enam tahun ini, rakyat Ladakh semakin sedar bahawa identiti mereka terancam. Belia pula sudah hilang sabar kerana tidak nampak masa depan.”

Insiden Rabu lalu menandakan titik hitam baharu dalam sejarah politik Ladakh, menukar wilayah yang selama ini berjuang secara aman kepada gelombang protes paling ganas sejak status negeri mereka ditarik balik. - Agensi