Op Cegah Khas AADK: Kedah catat tangkapan tertinggi penagih dadah

Iklan
Individu yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan & Pemulihan) 1983, termasuk mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan ketum. Gambar kecil: Zainudin

ALOR SETAR – Kedah mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi dalam Op Cegah Khas yang dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) secara serentak di seluruh negara, dengan seramai 263 individu ditahan sepanjang operasi tiga hari bermula Isnin lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, daripada keseluruhan 1,411 individu yang ditahan dalam operasi itu, seramai 1,132 orang berusia antara 19 hingga 61 tahun didapati positif dadah, dengan penggunaan methamphetamine mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 86 peratus.

Iklan
Iklan

“Selain methamphetamine, turut dikesan ialah penggunaan opiat, ganja dan beberapa bahan larangan lain.

"Kedah menjadi negeri tumpuan operasi kali ini dengan jumlah tangkapan tertinggi, diikuti Johor (151 orang) dan Perak (139 orang),” katanya pada sidang media di Pejabat AADK Kota Setar pada Khamis.

Iklan

Menurut beliau, Kuala Kedah di daerah Kota Setar merekodkan jumlah tangkapan tertinggi, diikuti Kota Kuala Muda dan Ayer Hangat di Langkawi.

"Daripada jumlah tangkapan di Kedah, seramai 178 individu dikenal pasti sebagai penagih baharu.

Iklan

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan penagihan dadah di Kedah dari Januari hingga September mencecah 3,189 orang. Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha rawatan dan pemulihan,” ujarnya.

Zainudin turut memaklumkan bahawa kesemua individu yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan & Pemulihan) 1983, termasuk mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan ketum.

Tambahnya, AADK kini berdepan cabaran baharu apabila dadah semakin mudah diperoleh oleh golongan muda melalui pembelian atas talian, sekali gus menyukarkan pengesanan awal.

“Justeru, kami menyeru ibu bapa, masyarakat dan komuniti agar lebih peka dan proaktif dalam menangani isu penagihan dadah. AADK menyediakan program rawatan dan pemulihan yang komprehensif untuk membantu mereka keluar daripada kitaran penagihan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa AADK akan terus mempertingkatkan operasi pengesanan bagi membendung penyalahgunaan bahan larangan termasuk gam dan ketum, demi memastikan kesejahteraan masyarakat terpelihara.