SHAH ALAM - Demi misi kemanusiaan ke Gaza, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman sanggup meninggalkan isteri yang sedang mengandung untuk menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) meskipun sedar bahaya yang menanti.
Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) itu berkata, isteri serta kedua ibu bapa memahami perjuangannya untuk membantu rakyat Palestin yang terus menderita akibat sekatan dan serangan berpanjangan oleh rejim Zionis.
"Kalau ikutkan, ibu dan ayah saya mahu turut serta (misi GSF), tetapi saya beritahu mereka biarlah kami pergi dahulu untuk memastikan perjalanan sesuai dan selamat.
"Sekiranya berjaya sampai di bumi Gaza, apa yang akan diumumkan adalah koridor kemanusiaan bakal dibuka.
"Jadi masa itu mana-mana kapal dari negara luar yang mahu hantar bantuan kemanusian boleh lakukan sebab kita dah berjaya membuka kepungan sekatan yang dibuat Zionis," katanya dalam rakaman siaran langsung yang dimuatnaik di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini dilaporkan, GSF berdepan cubaan intimidasi dan gangguan ketika pelayaran membawa bantuan ketika mereka semakin menghampiri perairan Gaza.
Laporan Situasi (SITREP) dikeluarkan Sumud Nusantara Command Center - MAPIM Central memaklumkan, gangguan itu berlaku ketika flotila berada di zon kelabu di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza.
Letupan turut kedengaran pada jam 1 pagi waktu tempatan disamping sekatan komunikasi yang juga dilapor berlaku.
Dalam pada itu Ahmad Musa turut menyifatkan dirinya bertuah kerana memiliki isteri yang memahami perjuangan yang diusahakan.
"Saya tinggalkan isteri dalam keadaan mengandung, ada rumah, nak pergi klinik dan hospital masih mudah, ada kenderaan dan sebagainya.
"Tetapi ibu-ibu di Gaza, tidak ada ubat, tidak boleh hasilkan susu badan kerana kurus dan kebuluran.
"Kalau orang nak kecam, dakwa saya ak kejar 'famous', saya tidak kesah kerana di belakang saya ada keluarga yang menyokong kerja kemanusiaan ini," ujarnya.