Lima peniaga rugi RM89,300 ditipu tawaran tender palsu

Iklan
Kesemua mangsa dihubungi suspek melalui telefon dan aplikasi WhatsApp dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai kerajaan. Gambar hiasan

KUANTAN - Lima peniaga di daerah ini mengalami kerugian berjumlah RM89,300 selepas diperdaya sindiket menyamar sebagai wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan modus operandi menawarkan tempahan majlis rasmi kerajaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kesemua mangsa dihubungi suspek melalui telefon dan aplikasi WhatsApp dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai kerajaan.

Iklan
Iklan

“Suspek mendakwa kononnya mahu membuat tempahan barangan atau perkhidmatan bagi pihak agensi kerajaan termasuk langsir, makanan, cenderahati dan katering.

“Bagi meyakinkan mangsa, mereka mengemukakan dokumen palsu seperti Local Order (LO) dan surat pelantikan vendor,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau memaklumkan, mangsa kemudian diarahkan menghubungi pembekal tertentu dan membuat bayaran ke akaun peribadi.

“Selepas bayaran dibuat, suspek dan pembekal gagal dihubungi dan mangsa akhirnya menyedari mereka telah ditipu,” katanya.

Iklan

Ashari berkata, semua laporan yang diterima menunjukkan modus operandi hampir sama dan dipercayai didalangi sindiket yang berkaitan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dalam urusan perniagaan melibatkan individu yang mendakwa dari agensi kerajaan, terutamanya jika diminta membuat bayaran ke akaun peribadi.

Tegasnya, semua dokumen atau LO perlu disahkan terlebih dahulu dengan agensi terbabit.

“Sebarang keraguan boleh dirujuk kepada balai polis terdekat atau Bahagian Siasatan Jenayah Komersil untuk tindakan lanjut,” katanya.