Lebih 1,000 judul buku menanti pengunjung di Jualan Gudang Karangkraf 2025

Iklan
Lebih 1,000 judul bahan bacaan disediakan pada Jualan Gudang Karangkraf 2025 kali ini.

SHAH ALAM - Lebih 1,000 judul bahan bacaan termasuk naskah al-Quran ditawarkan kepada peminat buku tempatan sempena Jualan Gudang Karangkraf 2025 yang berlangsung selama 10 hari bermula Jumaat ini.

Pengurus Besar Jualan Kumpulan Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, program itu menawarkan diskaun harga antara 20 sehingga 80 peratus selain berpeluang memenangi hadiah menarik.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, buat pertama kali pihaknya juga menyediakan buku planner 2026 yang menampilkan reka bentuk eksklusif dengan halaman dalaman berwarna pastel buat pengunjung.

Roziyana menunjukkan buku planner 2026 baharu yang dijual pada Jualan Gudang Karangkraf 2025 bermula Jumaat ini.

Iklan

"Beberapa buku baharu bagi terbitan 2025 turut dijual antaranya novel seram berjudul Suhaila selain Fuyooo... Senangnya Matematik yang diterbit semula dan buku planner bagi tahun 2026.

"Kita ada komik buat kanak-kanak, novel lama dan baru serta al-Quran antaranya Al-Quran Amazing yang mana pada jualan gudang ini, kita menawarkan harga RM100 senaskah dan sekiranya membeli dua naskah menjadi RM150.

Iklan

"Jualan akhir bagi tahun ini turut membawa buku-buku terbitan PTS Sdn Bhd, Jejak Tarbiah dan Patriots Publishing Sdn Bhd," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Roziyana berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk kanak-kanak selain membawa beberapa penulis buku.

"Sepanjang program bermula jam 9 pagi hingga 7 malam itu pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pertandingan mewarna dan teka silang kata bergambar untuk kanak-kanak.

"Selain itu, pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM2,500 dengan minimum pembelian RM80," katanya.

Jualan Gudang Karangkraf 2025 akan berlangsung selama 10 hari bermula 26 September sehingga 5 Oktober depan.

Beliau berkata, bagi memastikan keselesaan pengunjung, pihaknya menyediakan kemudahan lengkap antaranya ruang beribadat, gerai makan dan tandas.

"Ruang pameran di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf yang berhawa dingin memberi keselesaan kepada pengunjung yang hadir bersama keluarga malah, ruang parkir kereta juga disediakan bagi memudahkan pengunjung.

"Kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi mendapatkan buku pelbagai kategori di jualan gudang kami bagi menambah koleksi dan sebagainya pada harga yang berbaloi," katanya.