Sindiket judi berselindung di sebalik kedai runcit, kedai baiki telefon

Iklan
Mohd Adli meninjau kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik dijalankan pekerja TNB ke atas sebuah premis perjudian di Semambu dalam Ops Mega Pemotongan Elektrik Premis Perjudian di Daerah Kuantan pada Khamis.

KUANTAN - Sindiket perjudian haram di daerah ini dikesan berselindung di sebalik premis perniagaan sah seperti kedai runcit dan kedai membaiki telefon bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang itu.

Taktik itu bagaimanapun berjaya dihidu hasil serbuan pihak polis ke atas 10 premis perniagaan di sekitar Kuantan termasuk di Semambu sejak awal tahun ini.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, rata-rata premis terlibat dikesan menawarkan aktiviti judi dalam talian dan nombor ekor haram.

Menurutnya, kesemua premis tersebut telah diambil tindakan di mana 10 tangkapan melibatkan penjaga dan pekerja premis juga telah dituduh di mahkamah.

Iklan

"Operasi pemotongan bekalan elektrik dijalankan mengikut Seksyen 21 A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi memastikan aktiviti haram itu tidak diteruskan atau berulang di premis terlibat selepas kes selesai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ops Mega Pemotongan Elektrik Premis Perjudian di Daerah Kuantan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar daerah ini pada Khamis.

Iklan

Mohd Adli berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi membanteras kegiatan perjudian dan aktiviti haram di daerah ini.

"Pihak polis juga mengenal pasti beberapa lokasi yang dipercayai terdapat premis menawarkan aktiviti perjudian di sebalik perniagaan lain yang sah.

"Mereka yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini diberi amaran supaya menghentikan kegiatan tersebut atau berdepan tindakan tegas tanpa memilih bulu sekiranya tertangkap," tegasnya.

Sementara itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian di kawasan masing-masing diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan.

"Orang ramai terutama golongan muda dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti judi kerana tabiat itu mengundang kesan buruk kepada kehidupan terutama melibatkan kewangan, sosial dan boleh menjerumuskan mereka kepada jenayah," katanya.