KUALA NERUS – Jalan Pantai Batu Rakit yang hampir siap dibaik pulih dengan kos RM4.95 juta kembali runtuh dalam kejadian malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, runtuhan sejauh 15 hingga 20 meter itu disedari anggota rondaan cegah jenayah Balai Batu Rakit kira-kira jam 9.30 malam.
"Pemeriksaan mendapati berlaku runtuhan tebing jalan namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
"Punca runtuhan dipercayai disebabkan hakisan pada bahagian bawah benteng. Ketika kejadian, cuaca baik dan tiada air pasang besar," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat kira-kira jam 10.15 malam sebelum arahan dikeluarkan supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) menutup laluan tersebut sepenuhnya sehingga disahkan selamat digunakan.
"JKR bersama kontraktor telah dimaklumkan untuk melaksanakan penutupan jalan bagi kedua-dua arah," katanya.
Sebelum ini, kerja-kerja membaik pulih jalan dan tebing runtuh di laluan T145 Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit (Pantai), Kampung Tanjung itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober depan.
Projek itu dilaksanakan susulan kejadian runtuhan jalan sepanjang 280 meter yang berlaku akibat cuaca buruk ketika Monsun Timur Laut pada Januari lalu.