GEORGE TOWN – Jalan Burma yang sebelum ini ditutup berikutan kejadian lubang mendap akibat kebocoran paip pembetungan kini dibuka sepenuhnya dan selamat digunakan orang awam bermula pagi Khamis.
Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan oleh Indah Water Konsortium (IWK) berjaya disiapkan kira-kira jam 4 pagi, iaitu sehari lebih awal daripada tempoh jangkaan asal.
“MBPP merakamkan penghargaan kepada IWK kerana telah menyiapkan pembaikan ini lebih awal dari jadual, sekali gus membolehkan laluan berkenaan kembali digunakan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pembukaan semula laluan itu dijangka memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya yang menggunakan Jalan Burma sebagai antara laluan utama di bandar raya ini.
Sebelum ini, Jalan Burma di sini ditutup sementara pada Ahad susulan kejadian lubang benam berhampiran simpang masuk ke Jalan Transfer.
MBPP memaklumkan penutupan membabitkan kedua-dua arah dari Jalan Penang iaitu dari Komtar dan Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menuju ke Jalan Burma, bagi membolehkan kerja pembaikan segera dilakukan.
Susulan itu, pengguna jalan raya akan dilencongkan ke Jalan Lim Chwee Leong sepanjang tempoh pembaikan.
IWK kemudiannya mengesahkan kejadian lubang benam itu berpunca daripada runtuhan paip kumbahan akibat sambungan yang teralih, bukannya disebabkan oleh aset lama seperti yang didakwa.
IWK berkata, sambungan yang teralih itu boleh berlaku secara tiba-tiba di bawah beban berat sekali gus mengakibatkan runtuhan paip berdiameter 525 milimeter jenis graviti, bukan paip tekanan (force main) seperti yang dilaporkan sebelum ini.