JENAMA barang kemas terkemuka tanah air, Wah Chan meraikan ulang tahun ke-70 dengan memperkenalkan koleksi edisi khas, Love Infinity.
Koleksi tersebut bertemakan kasih sayang, sesuai untuk kegunaan peribadi, pasangan, anak-anak mahupun keluarga.
Pengarah Wah Chan Jewellery, Amanda Koo berkata, koleksi tersebut menampilkan rekaan bermakna dengan setiap warna membawa simbolik tersendiri.
Menurutnya, warna merah untuk semangat, hijau melambangkan kesihatan, putih tanda kedamaian, berlian sebagai cinta abadi, manakala emas mewakili kemakmuran.
Jelas beliau, produk utama dalam koleksi tersebut ialah Love Infinity 24K Bracelet, gelang emas 24 karat boleh suai pertama Wah Chan yang direka sendiri olehnya.
“Setiap satu gelang ini dihasilkan eksklusif dengan logo khas ulang tahun ke-70 dan hanya 70 unit dikeluarkan di seluruh dunia.
“Ia bukan sekadar perhiasan tetapi juga pelaburan jangka panjang yang bernilai,” katanya semasa majlis pelancaran pada Selasa.
Menurut Amanda, selain gelang edisi khas itu, Wah Chan turut memperkenalkan 70th Anniversary Gold Bar, bar emas koleksi terhad yang membawa lambang keseimbangan, kesihatan, cinta, panjang umur dan kekayaan.
Ujarnya, bar emas tersebut ditawarkan dengan jaminan pembelian balik 100 peratus selama tujuh tahun dan kadar pertumbuhan nilai tujuh peratus setahun untuk tiga tahun pertama.
“Pelancaran dua koleksi istimewa ini simbol dedikasi Wah Chan terhadap seni pertukangan, inovasi dan kepercayaan pelanggan sejak syarikat diasaskan pada 1955.
“Selama tujuh dekad, Wah Chan bukan sekadar penjual barang kemas. Kami menjadi sebahagian detik paling bermakna dalam kehidupan pelanggan, daripada lamaran, perkahwinan hingga ulang tahun keluarga,” jelasnya.
Beliau berkata, ulang tahun kali ini diraikan dengan pelbagai kempen termasuk Celebrate 70 Years of Love yang menawarkan promosi menarik, antaranya potongan RM70 untuk pembelian gram pertama emas 916 dan penjimatan sehingga 70 peratus bagi koleksi terpilih.
Kempen itu juga memberi peluang kepada pelanggan memenangi hadiah lumayan termasuk bar emas 10 gram, cincin berlian satu karat dan hadiah utama sebuah kereta elektrik Tesla Model 3.
Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan, antaranya cabaran tarian lagu kecerdasan buatan (AI) di TikTok bersama pelajar kolej dan acara larian berpasangan Love in Every Step Fun Duo Run pada 30 November ini.
“Kejayaan ini bukan milik kami semata-mata tetapi milik setiap pelanggan yang menjadikan Wah Chan sebahagian daripada kisah hidup mereka.
“Kami akan terus menghasilkan rekaan berkualiti dan abadi demi generasi akan datang,” kata Amanda.