PELABUHAN KLANG – Berendam dalam saluran kumbahan dan menyorok di rumah sampah adalah antara taktik warga asing bagi mengelak dicekup dalam operasi bersepadu di kawasan perindustrian Pulau Indah di sini pada Rabu
Lebih mengejutkan, seorang wanita warga asing sanggup terjun dari tingkat tiga rumah kedai semata-mata mahu meloloskan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, tindakannya membawa padah apabila mengalami kecederaan sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut serta dalam operasi berkenaan.
Wanita itu kemudian mengaku pasport miliknya telah tamat tempoh sejak empat bulan lalu dan terdesak untuk mengelak daripada diberkas.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairul Aminus Kamarudin berkata, operasi yang bermula jam 9.30 malam itu melibatkan sembilan blok rumah kedai membabitkan lebih 100 premis berdasarkan hasil risikan selama empat bulan.
Beliau berkata, seramai 242 pegawai dan anggota pelbagai agensi terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Dalam pemeriksaan ke atas 1,132 individu, seramai 662 warga asing terdiri daripada 643 lelaki dan 19 perempuan berusia 16 hingga 80 tahun ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen
"Kesemua individu ditahan melibatkan warga Indonesia seramai 643 orang, Bangladesh (150), Pakistan (35), Myanmar (36), Nepal (24) dan India (10)," katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi pada Rabu.
Katanya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk dokumentasi sebelum dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih.
"Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta menggunakan kad tidak diiktiraf.
"Hasil pemeriksaan turut mendapati ada hostel pekerja asing yang tidak terurus dan perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, tindakan diambil selaras dengan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
"Kesalahan dikesan melibatkan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada pas atau dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) kerana melanggar syarat pas.
"Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tindakan tegas boleh diambil," katanya.
Khairul Aminus berkata, terdapat juga majikan yang memberi kerjasama dengan membawa pasport pekerja untuk pengesahan dan ia membuktikan tidak semua majikan melanggar undang-undang.
"Pekerja asing diperlukan di negara namun mereka mesti mematuhi peraturan ditetapkan serta bekerja secara sah.
"Operasi penguatkuasaan seperti ini akan dilakukan secara berterusan, bukan sahaja di Pulau Indah tetapi di seluruh Selangor," katanya.