BUDI95: Agihan subsidi RON95 lebih bersasar

Iklan
Program Budi Madani RON95 (BUDI95) efektif mengatasi ketirisan subsidi yang dinikmati warga asing. (Gambar kecil: Anis Anwar)

SHAH ALAM - Inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) disifatkan dilaksanakan tepat pada masanya apabila selama ini subsidi petrol RON95 itu turut dinikmati pihak tidak sepatutnya termasuk warga asing.

Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata, ia menjadi satu bentuk reformasi dasar yang cuba menutup ruang kebocoran tersebut.

Iklan
Iklan

“Malaysia memang sudah mempunyai mekanisme perundangan yang jelas melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang melarang penjualan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

“Namun begitu, kelemahan utama terletak pada aspek penguatkuasaan di lapangan. Kerjasama yang longgar daripada sebahagian pengusaha stesen minyak serta pengawasan yang tidak konsisten telah menyebabkan ketirisan subsidi terus berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Anis Anwar berpandangan, dengan menetapkan siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter pada harga RM1.99 seliter, kerajaan bukan sahaja mahu memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan sasaran, malah juga mengawal agar tiada pihak mengeksploitasi kemudahan tersebut secara berlebihan.

Menurut beliau, pendekatan berkenaan boleh dilihat sebagai usaha untuk menyusun semula agihan subsidi dengan lebih adil dan bersasar.

Iklan

“Kelemahan penguatkuasaan lama telah memaksa kerajaan memperkenalkan mekanisme baharu yang lebih sistematik.

“Reformasi ini bukan sekadar menyekat ketirisan akibat penyalahgunaan oleh warga asing, tetapi juga menzahirkan komitmen kerajaan untuk melindungi kepentingan rakyat tempatan serta memastikan subsidi digunakan secara optimum bagi kumpulan penerima yang layak,” ujarnya.