Polemik hukuman setara seks bawah umur

Iklan
Dalam undang-undang syariah, zina adalah salah bagi dua-dua pihak, sama ada suka sama suka atau tidak.

CADANGAN Polis Kelantan supaya perempuan juga dikenakan tindakan jika terlibat dalam seks suka sama suka dengan lelaki, khususnya melibatkan remaja bawah umur menarik perhatian penulis.

Meninjau ke ruangan komen Facebook Sinar Harian pada Ahad lalu, cadangan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri itu adalah atas kerelaan kedua- dua pihak dan bukannya paksaan.

Menurutnya, cadangan itu akan dibincangkan bersama Pejabat Peguam Negara, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan pihak berkaitan bagi memperhalusi mekanisme undang-undang supaya tindakan lebih adil dapat diambil.

Iklan

Pada pandangan penulis, cadangan tersebut lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap sistem yang nampak berat sebelah. Kalau benar-benar suka sama suka, kenapa lelaki sahaja yang dihukum?

Dari sudut keadilan, logiknya perempuan juga ada peranan dalam tindakan tersebut. Namun, isu ini bukan sekadar soal “dua-dua salah”, tetapi lebih kompleks kerana melibatkan umur, persetujuan, dan kedudukan sosial.

Iklan

Dalam banyak kes, sukar untuk menentukan siapa yang “memulakan”, siapa yang mempengaruhi, atau apakah persetujuan itu benar-benar bebas daripada tekanan, pengaruh rakan, keadaan sosial keluarga, dan sebagainya.

Jika pihak perempuan juga dibawa ke muka pengadilan, sistem undang-undang perlu pastikan terdapat bukti yang jelas supaya tidak berlaku salah tuduh.

Dalam konteks undang-undang sivil, hubungan seksual dengan bawah umur tetap dikategorikan sebagai rogol statutori — persetujuan mereka tidak sah walaupun suka sama suka. Justeru, lelaki biasanya didakwa manakala perempuan dianggap mangsa.

Sementara itu, dalam undang-undang syariah, zina adalah salah bagi dua-dua pihak, sama ada suka sama suka atau tidak. Dari perspektif ini, cadangan Ketua Polis Kelantan itu selari dengan prinsip syariah yang menekankan tanggungjawab bersama.

Bagaimanapun, jurang antara kedua-dua sistem ini menyebabkan kekeliruan. Undang-undang sivil menekankan perlindungan kanak-kanak, manakala syariah lebih menitikberatkan soal moral dan hukum agama.

Bagi penulis, kalau dua sistem ini dapat digabungkan secara bijak, mungkin cadangan tersebut lebih mudah difahami dan diterima.

Cadangan tersebut pastinya mendapat reaksi pelbagai pihak, khususnya masyarakat Kelantan.

Mungkin ramai yang menyokong kerana ia selari dengan prinsip agama bahawa lelaki dan perempuan sama-sama bertanggungjawab. Apatah lagi, cadangan itu memberi mesej jelas kepada remaja agar tidak mudah terjebak dalam perbuatan terlarang.

Mungkin ramai yang risau kerana hukuman hanya akan menambahkan trauma kepada remaja perempuan, sedangkan golongan itu perlukan perlindungan dan kaunseling.

Bagi penulis, pendekatan agama dan pendidikan moral tetap penting dalam konteks negeri yang identitinya begitu kuat dengan Islam.

Secara peribadi, penulis berpendapat cadangan tersebut ada baiknya kerana bila ada risiko tindakan terhadap perempuan juga, mungkin ada elemen pencegahan yang boleh membuat remaja perempuan, keluarga dan masyarakat lebih berhati-hati.

Ia mungkin memacu pendidikan seksual, kesedaran tentang had umur, dan peranan ibu bapa dalam pengawasan.

Namun, ia tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru, ia mengandungi risiko jika tidak disusun dengan teliti.

Penulis fikir jalan terbaik ialah gabungan undang-undang yang jelas, pendidikan seksual dan agama yang lebih kukuh, serta sokongan pemulihan untuk remaja.

Dengan cara ini, undang-undang bukan hanya menghukum, tetapi juga melindungi dan mendidik masyarakat supaya masalah seks bawah umur benar-benar dapat dicegah.

* Puperahaizad Darsono ialah Sub Editor Sinar Harian