SHAH ALAM - Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) menjangkakan jumlah permohonan lesen memandu bakal meningkat susulan pengumuman pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa 30 September ini.
Presidennya, Mat Aris Bakar berkata, peningkatan itu didorong oleh kecenderungan sesetengah pihak yang mungkin menggunakan lesen ahli keluarga lain bagi menuntut kuota minyak subsidi sebanyak 300 liter sebulan yang diperuntukkan kerajaan.
Katanya, meskipun masih terlalu awal untuk membuat jangkaan kesan inisiatif tersebut, namun trend kenaikan itu dijangka berlaku sekiranya kuota yang diberikan tidak mencukupi bagi keperluan harian.
“Dalam sesebuah keluarga, mungkin ada anak yang sudah layak mengambil lesen tetapi belum memiliki kenderaan sendiri.
“Lesen itu boleh digunakan bagi membolehkan ahli keluarga lain menuntut subsidi petrol tersebut.
“Situasi ini secara tidak langsung mendorong kepada peningkatan jumlah permohonan lesen baharu,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa 30 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mulai 30 September, bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak untuk subsidi kerana untuk peribadi dan mereka perlu membayar harga tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter sementara RM1.99 untuk rakyat sahaja.
Menurut Mat Aris, berdasarkan rekod semasa, setiap tahun lebih kurang 500,000 hingga 600,000 lesen baharu dikeluarkan di seluruh negara, dengan 50 peratus daripadanya merupakan lesen motosikal dan selebihnya lesen kereta.
“Jika dilihat trend semasa, kawasan bandar lebih ramai cenderung mengambil lesen kereta manakala di luar bandar pula, permohonan lesen motosikal lebih tinggi.
“Golongan remaja berusia 16 hingga 17 tahun pula mewakili hampir 90 peratus daripada pengambilan lesen baharu,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan kawalan melalui lesen memandu dan kad pengenalan.
Katanya, usaha itu dapat memastikan hanya warganegara yang layak sahaja menerima manfaat subsidi tersebut.
“Langkah ini juga diharap mampu mengurangkan ketirisan, khususnya di kawasan sempadan yang sebelum ini membolehkan warga asing menikmati subsidi petrol negara,” ujar beliau.