KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) bukan sekadar dokumen perundangan, sebaliknya cerminan kepada masa depan pembangunan semula kawasan bandar yang akan menyentuh kehidupan ribuan rakyat.
Pakar Perancang Bandar, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sekiranya rang undang-undang itu diluluskan tanpa mengambil kira pandangan pihak berkepentingan termasuk penduduk, pemilik hartanah, penggiat industri dan badan profesional, ia berisiko mencetuskan ketidakadilan dalam pelaksanaan.
Beliau menegaskan, URA perlu diteliti secara inklusif dengan mengambil kira semua sudut sebelum dimuktamadkan.
“Saya menyambut baik pendekatan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku Ketua Pasukan Khas UMNO yang menekankan kepentingan dialog terbuka dan konsultasi telus dalam penambahbaikan URA,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, langkah itu tepat bagi memastikan URA benar-benar mencerminkan keperluan semasa dan aspirasi rakyat Malaysia.
Katanya, beliau sendiri terlibat dalam sesi libat urus sebelum ini dan percaya Konvensyen Melayu Bandar pada 3 Oktober depan akan menjadi platform penting mendapatkan maklum balas menyeluruh.
“Ini bukan soal tergesa-gesa meluluskan undang-undang, tetapi tanggungjawab bersama merangka dasar yang bakal memberi kesan besar kepada komuniti bandar,” jelasnya.
Abdul Razak turut berkongsi pengalamannya menghadiri BN Forum Siri ke-8 bertajuk 'Urbanisasi & URA – Survival Melayu Bandar' yang diadakan baru-baru ini.
Menurutnya, forum berkenaan bukan sekadar wacana akademik, sebaliknya ruang bicara menilai dasar dari pelbagai perspektif termasuk suara rakyat.
“Pembangunan semula bandar tidak hanya soal kemajuan atau pelaburan semata-mata, tetapi juga menyentuh hak pemilikan, maruah komuniti asal dan warisan Melayu di bandar yang mesti dipertahankan,” ujarnya.
Beliau menambah, pendekatan holistik diperlukan agar pelaksanaan URA seimbang dari segi sosial, ekonomi dan budaya.
Katanya, sekiranya aspek tersebut diabaikan, kesilapan lama yang membawa kepada ketidakadilan boleh berulang.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan bandar masa kini perlu selari dengan New Urban Agenda (NUA) yang diterima pakai di UN Habitat pada 2016 tentang Perumahan dan Perbandaran.
“NUA adalah blueprint global untuk mewujudkan pembangunan bandar berdaya huni, inklusif dan efisien melalui perancangan serta tadbir urus yang sistematik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Razak menyeru agar pihak berkepentingan supaya tampil menyumbang pandangan secara aktif agar URA menjadi dasar adil, berkesan dan mampan untuk generasi akan datang.