'Dengan nama ALLAH dan Rasul, tiada kegentaran bagi kami' - Israel guna stun grenade cuba takutkan misi flotilla ke Gaza

Iklan
Cubaan Israel menakut-nakutkan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) di Laut Mediterranean gagal melemahkan semangat konvoi 53 kapal yang dalam perjalanan menuju pantai Gaza.

SHAH ALAM – Cubaan Israel menakut-nakutkan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) di Laut Mediterranean gagal melemahkan semangat konvoi 53 kapal yang dalam perjalanan menuju pantai Gaza.

Aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad berkata, insiden itu berlaku pada awal pagi tadi apabila 15 dron Israel mengitari kawasan konvoi sebelum melepaskan bahan letupan jenis stun grenade di ruang udara.

Iklan
Iklan

“Pada jam 1.27 pagi (6.17 pagi waktu tempatan), dron Israel mengelilingi 53 kapal flotila. Sepuluh minit kemudian, letupan kuat bergegar di udara. Kaedah itu digunakan untuk mencetuskan panik serta ketakutan di kalangan pelayar,” katanya yang turut belayar bersama anak perempuannya, Ilham Fansuri, 27 tahun.

Menurutnya, sekitar 12 letupan dikesan berhampiran sembilan bot layar, manakala satu letupan berlaku betul-betul di atas bot yang dinaikinya.

Iklan

“Stun grenade biasanya digunakan untuk pencegahan rusuhan, namun Israel menggunakan kaedah ini sebagai ugutan. Mereka mahu pelayar berasa gentar dan ada yang minta diturunkan di Greece,” jelasnya.

Zainal Rashid yang juga pengasas ZRA Strim berkata, serangan itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa, namun dua bot mengalami kerosakan minimum akibat ledakan.

Iklan

“Selepas dua jam Ops Gertak Israel, semua bot dan 500 pelayar meneruskan pelayaran. Alhamdulillah, bot saya tidak mengalami kerosakan serius,” katanya.

Beliau turut memohon doa rakyat Malaysia agar seluruh konvoi selamat sampai ke Gaza.

“Doakan kami. Sekali melangkah, bererti terus melangkah. Dengan nama ALLAH dan Rasul, tiada kegentaran bagi kami, pelayar Sumud Nusantara,” ujarnya.

Sementara itu, selebriti Zizi Kirana yang kini berada di Kapal Hoga turut berkongsi pengalaman berdepan gegaran letupan di udara.

“GSF umumkan konvoi didatangi lebih kurang 15 dron dan berlaku letupan. Saya sendiri mendengar bunyinya. Kami semua bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

Beliau menyeru rakyat Malaysia terus mendoakan keselamatan mereka sepanjang misi.

“Teruskan berdoa, jangan berhenti berdoa dan sebarkan tentang gerakan ini menuju Gaza untuk bantu saudara kita,” katanya.

INFO

APA ITU STUN GRENADE?

Stun grenade ialah sejenis bom tangan yang menghasilkan kilauan cahaya yang menyilaukan dan bunyi yang sangat kuat bertujuan untuk mengelirukan, mengganggu dan melumpuhkan sasaran secara sementara tanpa menyebabkan kecederaan kekal.

BAGAIMANAKAH BENTUK STUN GRENADE?

Lazimnya berbentuk tiub besi heksagon dengan liang di sisi untuk membolehkan cahaya dan bunyi terkeluar.

APAKAH KESAN JIKA TERKENA STUN GRENADE?

Direka untuk melumpuhkan sasaran tanpa menyebabkan kecederaan kekal, tidak seperti bom tangan konvensional yang menghasilkan serpihan.

SIAPAKAH YANG MENGGUNAKAN STUN GRENADE?

Ketenteraan: Digunakan dalam tempur jarak dekat, seperti meletupkan pintu, untuk mengelirukan musuh dan memberi peluang kepada pasukan untuk bertindak.

Kawalan rusuhan: Digunakan oleh pihak polis untuk mengawal dan melumpuhkan penunjuk perasaan yang ganas secara sementara.