SUNGAI PETANI - Mekanisme pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada semua rakyat Malaysia diyakini paling efektif bagi menangani ketirisan subsidi dinikmati warga asing.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari bagaimanapun percaya, kerajaan tetap mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk bersedia menambah baik sistem pelaksanaan BUDI95 sekiranya diperlukan.
"Saya percaya kerajaan mengambil maklum semua cadangan dan apa juga saranan daripada mana-mana pihak tetapi apa yang dilakukan sekarang ini sebenarnya paling efektif untuk kita melihat tidak ada lagi ketirisan dan subsidi ini benar-benar diberikan kepada yang memerlukan.
"Saya juga percaya kementerian akan mengambil perkara ini dengan secara terbuka... sistem yang akan ditambah baik... kita akan improve mana-mana juga teknikal isu dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika mengadakan lawatan ke Surau Kampung Telok di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (Gempita), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Muni berhubung pelaksanaan BUDI95 yang didakwa menyasarkan subsidi kepada pemilik kenderaan namun tidak menyentuh langsung isu keperluan golongan pesawah yang banyak menggunakan bahan api untuk kelangsungan kerja sawah.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh turut menyarankan agar kerajaan mewujudkan kad petrol khas pesawah bagi memastikan golongan tersebut mendapat akses terus kepada subsidi bahan api mengikut keperluan sebenar kerja sawah dan pertanian.
Sementara itu, dalam lawatan sama, Mohammed Taufiq juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 oleh perdana menteri melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi menaik taraf surau berkenaan yang telah uzur.