Impian jadi kaya dorong Bat Mohamad Uwais berniaga ketika masih belajar
Iklan
Bat Mohammad Uwais bersama ibu bapanya yang hadir pada Majlis Konvensyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan pada Selasa.
PORT DICKSON - Impian mahu menjadi orang kaya menjadi penyuntik semangat buat pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Bat Mohammad Uwais Bat Kamaruzzaman, 22, untuk aktif berniaga secara dalam talian meskipun sibuk membahagikan masa dengan pengajian.
Penerima Anugerah Usahawan Kolej Komuniti itu berkata, dia mula berjinak-jinak berniaga sejak belajar di Kolej Komuniti Kuala Pilah lagi sebelum meneruskan minat tersebut ke peringkat universiti.
Iklan
Iklan
Bat Mohammad Uwais berkata, dia mulanya menjalankan perniagaan madu kelulut, kemudian beralih kepada perniagaan komputer riba dan kini menceburi bidang saham serta jual beli emas secara dalam talian.
“Saya bermula dengan madu kelulut semasa di Kolej Komuniti, tapi saya tak teruskan dan ada pelajar lain sambung bisnes itu.
Iklan
“Selepas itu, saya buka bisnes sendiri menjual komputer riba dan berurusan terus di pusat jualan komputer di Lowyat Plaza. Tapi selepas saya sambung belajar di USAS, saya tidak ada pengangkutan untuk ulang-alik ke sana, jadi saya tak teruskan bisnes tu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung di Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson pada Selasa.
Bat Mohammad Uwais berkata, minatnya terhadap bidang keusahawanan tidak terhenti setakat itu apabila dia meneroka pula perniagaan saham dan jual beli emas secara dalam talian yang turut membawa pulangan agak lumayan.
Iklan
“Perniagaan ini agak memberangsangkan dan hasilnya boleh menampung pengajian saya tanpa perlu terlalu bergantung kepada bantuan kewangan daripada mak ayah.
“Kalau tanya kenapa saya minat berniaga, sebab cita-cita saya memang nak jadi orang kaya. Saya banyak amalkan doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk minta kekayaan. Dari sekarang saya dah mula belajar berniaga walaupun masih berstatus mahasiswa,” kata pelajar Sijil Teknologi Peranti Mudah Alih dari Kolej Komuniti Kuala Pilah itu.
Tambahnya, walaupun sibuk dengan jadual kuliah, dia tetap membahagikan masa sebaik mungkin antara pelajaran dan perniagaan.
“Berniaga ini sebenarnya bagus. Bila kita hanya belajar saja, banyak masa terluang. Apabila terlalu banyak masa lapang, kadang-kadang terisi dengan aktiviti tak berfaedah.
"Itu yang ada kes pelajar terjebak dengan aktiviti tidak sihat seperti dadah, kelab malam dan minuman keras. Tapi bila kita sibuk belajar sambil buat bisnes, masa kita terisi dengan benda yang bermanfaat dan bawa pulangan pula,” ujarnya.
Sementara itu dia berkata, Anugerah Usahawan Kolej Komuniti itu merupakan satu pengiktirafan dan menjadi kelebihan buatnya dalam kerjaya dan urusan perniagaan pada masa hadapan.
“Sebenarnya saya berat hati nak datang majlis konvo ini sebab kebetulan sibuk dengan peperiksaan. Tapi saya hadir atas permintaan pensyarah dan juga desakan keluarga memandangkan saya antara salah seorang penerima anugerah.
“Saya rasa sangat gembira dan bersyukur kerana ini bukan anugerah biasa-biasa kerana bersaing dengan semua kolej komuniti seluruh Negeri Sembilan.
“Sijil ini boleh digunakan ketika memohon pekerjaan nanti. Ia boleh dijadikan rujukan dan menunjukkan rekod pencapaian kita yang baik,” katanya.
Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan 2025 itu meraikan seramai 346 graduan, merangkumi 93 pelajar dari Kolej Komuniti Jempol, 182 dari Kolej Komuniti Jelebu, 40 dari Kolej Komuniti Rembau, 18 dari Kolej Komuniti Tampin dan 13 dari Kolej Komuniti Kuala Pilah.
Majlis disempurnakan oleh Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Seorang penyokong tegar Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem atau lebih mesra disapa YB Helmy, sanggup menukar tempat mengundi sebagai tanda sokongan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu untuk terus berbakti kepada rakyat, lapor wartawan Sinar Harian, Norafiza Jaafar.
Ibu kepada dua anak, Lee Kim Choo, 54, berkata, dia telah mengikuti rapat perkembangan YB Helmy sejak sekian lama menerusi platform media sosial dan tertarik dengan pendekatan wakil rakyat berkenaan yang sentiasa turun padang serta mendekati masyarakat tanpa mengira bangsa dan kaum.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/766730/edisi/melaka-ns/sanggup-tukar-tempat-mengundi-demi-yb-helmy
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.