SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) membidas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low yang mendakwa pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) sebagai kabur dan membebankan rakyat.
Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata, dakwaan itu jelas berniat menimbulkan panik serta mengelirukan rakyat.
"Secara hakikat BUDI95 adalah satu langkah reformasi subsidi yang bertanggungjawab dalam memastikan bantuan sampai kepada rakyat Malaysia, bukannya kepada warga asing atau golongan berpendapatan tinggi.
"Saya mencerap setiap persoalan yang telah ditimbulkan beliau dengan memanipulasi beberapa fakta yang tidak tepat dengan tujuan mengelirukan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan.
Beliau berkata, bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh sama.
Mengulas lanjut, Danish berkata, MCA seharusnya menyokong usaha kerajaan memperkukuh keadilan sosial dan ketahanan ekonomi negara, bukan menakut-nakutkan rakyat dengan naratif 'separuh masak'.
Rakyat katanya, tidak boleh lagi menjadi mangsa subsidi pukal yang membazir, tetapi perlu menikmati manfaat bersasar yang benar-benar sampai ke tangan mereka.