KUALA LUMPUR – Blogger kontroversi, Papagomo diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menghasut dengan mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkaitan isu KK Supermart pada Mei tahun lalu.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 42, di akhir kes pendakwaan.
“Setelah meneliti keterangan dan hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Oleh itu, tertuduh diperintah membela diri,” kata hakim.
Apabila ditanya bilangan saksi yang akan dipanggil, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri berkata, setakat ini anak guamnya akan menjadi saksi tunggal dalam prosiding bela diri tersebut.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 November depan sebagai hari pertama prosiding bela diri.
Pada 2 Mei tahun lalu, Papagomo yang juga bekas Exco Pemuda UMNO didakwa membuat penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd yang menghadap Sultan Ibrahim di aplikasi X miliknya dengan nama pengguna ‘Sir Azri’.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Bukit Bintang, pada jam 12 tengah hari, 29 April tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Seramai sembilan saksi dipanggil memberi keterangan terhadap tertuduh dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan bermula Oktober 2024.
Dalam prosiding ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman.