Kumpulan jenayah terancang aktif sejak 2023 tumpas, 17 suspek diberkas

Iklan
Mohd Khalid menunjukkan antara suspek yang diberkas menerusi siri serbuan dijalankan.

KUALA LUMPUR – Demi mengejar pengaruh kuasa dan keuntungan, satu kumpulan jenayah terancang sanggup melakukan pembunuhan, rompakan bersenjata, serangan menggunakan parang serta perbuatan khianat dengan api sejak dua tahun lalu.

Namun, kegiatan ganas yang menimbulkan kegentaran awam itu akhirnya tumpas menerusi Ops Jack Sparrow hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dalam operasi pada 11 September lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kumpulan itu ditumpaskan melalui beberapa siri serbuan dan tangkapan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Menurut beliau, operasi tersebut berjaya memberkas seramai 17 suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun.

Iklan

“Kesemua suspek yang ditahan merupakan sebahagian daripada kira-kira 33 ahli kumpulan yang diketuai seorang lelaki tempatan dan aktif sejak 2023.

“Kumpulan ini pernah menimbulkan kebimbangan umum apabila melakukan serangan di sebuah restoran di Taman Sentosa, Klang, awal tahun ini yang mengakibatkan kematian serta tular di media sosial,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Rabu.

Iklan

Mohd Khalid berkata, siasatan mendapati motif utama kumpulan itu adalah keuntungan dan perebutan pengaruh selain terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah lain.

“Daripada jumlah keseluruhan, enam lagi ahli kumpulan masih bebas dan sedang diburu pihak polis.

“Siasatan awal juga mendapati 17 suspek yang ditahan mempunyai 80 rekod jenayah lampau, termasuk 34 kes berkaitan dadah,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Selain itu, kes turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) bagi meneliti saluran kewangan kumpulan berkenaan,” ujarnya.

Mohd Khalid menegaskan bahawa tiada ruang toleransi diberikan kepada kumpulan jenayah yang menggugat keselamatan negara.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan dan penguatkuasaan bersepadu. Ia memberi mesej jelas bahawa mana-mana pihak yang cuba mencabar undang-undang akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai saki-baki ahli kumpulan yang masih bebas serta mengelakkan diri daripada terjebak dengan jenayah atau dadah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menjayakan operasi berkenaan, sekali gus memastikan keselamatan rakyat dan menegakkan undang-undang.