SHAH ALAM – Persatuan Pemandu eHailing Utara (NeHDA) menggesa kerajaan menapis kelayakan pengecualian siling subsidi RON95 kepada pemandu e-hailing bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar aktif mendapat manfaat.
Pengerusinya, Zabidi Bahador berkata, pihaknya menghargai langkah kerajaan membenarkan pemandu e-hailing memohon penggunaan RON95 melebihi kuota ditetapkan, selain seluruh rakyat Malaysia bakal menikmati harga subsidi RM1.99 seliter.
Bagaimanapun, katanya, tanpa kawalan jelas dalam mekanisme pelaksanaan, wujud kebarangkalian berlaku manipulasi pendaftaran oleh individu yang bukan pemandu aktif semata-mata untuk menikmati subsidi dan pengecualian siling kelayakan.
“Keadaan itu boleh membawa kepada kemunculan pemandu bayangan iaitu mereka yang tidak aktif atau tidak sah, namun didaftarkan hanya untuk tujuan subsidi.
“Situasi sebegini juga dibimbangi menjejaskan ekosistem e-hailing yang kini berdepan lambakan pemandu serta kadar tambang rendah,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Zabidi berkata, pihaknya bimbang langkah itu berisiko menyebabkan ketirisan subsidi yang sepatutnya disalurkan kepada pemandu tulen sepenuh masa.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme pengesahan ketat dengan kerjasama platform e-hailing berdaftar dan persatuan pemandu bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Hanya pemandu aktif dengan rekod perjalanan sah serta pengesahan platform dicadangkan layak menerima kelonggaran subsidi,” ujarnya.
Selain itu, katanya, kerajaan turut disaran menubuhkan sistem audit berkala dan pangkalan data bersepadu bagi mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan, sekali gus memastikan subsidi benar-benar sampai kepada mereka yang layak.