SHAH ALAM - Cadangan agar gadis bawah umur terlibat dalam kes rogol atas dasar suka sama suka turut dikenakan hukuman adalah wajar dan selari dengan prinsip Islam yang menegakkan keadilan serta memikul tanggungjawab secara bersama.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, tidak adil jika hanya lelaki dihukum sementara perempuan dilepaskan sedangkan kedua-duanya bersetuju melakukan perbuatan terlarang itu.
Ini kerana katanya, Islam memandang zina sebagai dosa besar dan larangan mendekati perbuatan terkutuk itu juga bersifat menyeluruh iaitu bukan sekadar mengharamkan tetapi segala jalan yang boleh membawa kepada zina turut dicegah.
“Apabila hubungan seks berlaku atas dasar suka sama suka, kedua-dua pihak sama ada lelaki mahupun perempuan sama-sama dianggap melakukan kesalahan.
“Islam tidak memberi pengecualian kepada mana-mana jantina dalam kes kesalahan yang dilakukan sebaliknya hukuman yang adil dan setimpal perlu dilaksanakan.
“Kalau menurut perundangan hudud, hukuman zina dalam syariat adalah jelas iaitu sebatan 100 kali bagi penzina yang belum berkahwin dan rejam dengan batu sampai nak mati bagi yang sudah berkahwin dengan syarat pembuktian yang sangat ketat,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat supaya perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut Mohd Yusoff, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Ditanya sama ada wajar atau sebaliknya lelaki berusia 18 tahun yang terlibat dengan jenayah berkenaan dikenakan hukuman sebagaimana pesalah dewasa, Mohd Sukki berkata, perkara tersebut tidak wajar.
“Tidak wajar remaja lelaki bawah 18 tahun yang terlibat dalam kes suka sama suka dengan rakan sebaya dianggap setara dengan pesalah rogol dewasa.
“Mereka tetap perlu dikenakan tindakan tetapi hukuman berbentuk pemulihan, pendidikan, kaunseling dan pengawasan lebih sesuai. Pendekatan ini seimbang antara tanggungjawab moral dengan peluang untuk membentuk masa depan yang lebih baik,” jelasnya.
Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman turut mempunyai pandangan sama.
Menurutnya, isu ketidakadilan undang-undang dalam kes tersebut turut memerlukan kepada usaha penelitian semula bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan kepada pesalah terlibat.
“Saya kira isu ketidakadilan yang hanya menyaksikan pesalah lelaki sahaja dikenakan hukuman dalam kes rogol suka sama suka ini manakala gadis pula terlepas telah lama menjadi perbincangan ramai.
“Jadi, saya melihat cadangan supaya dipertimbangkan gadis yang terlibat dalam kes rogol bawah umur secara suka sama suka turut dipertanggungjawabkan dan tidak sepatutnya dilepaskan sepenuhnya daripada kesalahan di bawah undang-undang sedia ada.
“Ini kerana secara dasarnya, umur antara 10 hingga 13 tahun sudah mencapai akil baligh dan kalau difikirkan mereka boleh dikenakan hukuman tetapi ia juga perlu diteliti supaya tidak bercanggah dengan undang-undang atau peraturan dan jika berlaku percanggahan saya rasa perlu dibuat pindaan,” ujarnya.
Ditanya mengenai usaha atau langkah yang wajar diambil bagi menangani kes rogol bawah umur dan masalah sosial lain, Abdul Rahman berkata, semua pihak terutamanya ibu bapa perlu kembali kepada ajaran Islam secara menyeluruh.
“Saya cadangkan supaya diwujudkan aktiviti agama seperti belajar al-Quran dan sebagainya kepada pelajar selepas sahaja habis waktu persekolahan supaya waktu terluang yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Anak-anak perlu dididik dengan solat, akhlak dan nilai Islam sejak kecil. Pendidikan agama yang mantap menjadi benteng utama daripada terjerumus ke dalam maksiat,” tambah beliau.