SETIAP kali kita mendengar berita kehilangan nyawa akibat keracunan gas karbon monoksida di dalam kenderaan, hati pasti terusik.
Baru-baru ini, dilaporkan dua beranak ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) di Jalan Solok Hilir Paya Rumput, Cheng, Melaka.
Insiden itu cukup mengingatkan bahawa ruang yang dianggap selamat boleh berubah menjadi ancaman yang tidak disangka-sangka.
Pelbagai reaksi netizen dikongsikan di media sosial. Ada yang menzahirkan simpati, ada yang mengingatkan tentang bahaya gas karbon monoksida, malah ada juga yang berkongsi pengalaman hampir berdepan situasi sama.
Berdasarkan reaksi ini, jelas kita semua perlu lebih peka dan sentiasa saling menasihati.
Justeru, Merak Jalanan ingin mengingatkan beberapa perkara asas.
Pertama, elakkan membiarkan enjin hidup terlalu lama dengan tingkap tertutup rapat.
Gas beracun mungkin tidak kelihatan, namun kesannya boleh membawa maut.
Kedua, jangan meninggalkan ahli keluarga sendirian dalam kereta walau seketika. Keadaan cuaca panas atau kerosakan kecil pada sistem enjin boleh mengundang risiko besar.
Ketiga, biasakan diri membuat pemeriksaan berkala terhadap penyaman udara dan enjin, agar kenderaan benar-benar berada dalam keadaan selamat.
Jika mahu berehat atau tidur seketika dalam kereta ketika parkir, pastikan tingkap dibuka sedikit supaya ada aliran udara. Langkah ini mampu mengurangkan risiko bahaya yang tidak disedari.
Apa pun, Merak Jalanan percaya keselamatan bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi juga buat insan tersayang.
Biarlah tragedi yang menyedihkan ini menjadi peringatan, agar kita semua lebih berhati-hati setiap kali berada di dalam kenderaan.