Kestabilan, pengurusan kewangan berhemah kunci kepada pertumbuhan Malaysia - PM

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan Madani yang diadakan di sebuah hotel. Foto Bernama

DILI (Timor-Leste) - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah telah membolehkan negara melaksanakan pelbagai pembaharuan serta mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Bercakap pada Majlis Temu Mesra Madani bersama diaspora Malaysia, alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia di sini, beliau berkata, keamanan serta kestabilan adalah asas utama kepada reformasi dalam bidang pendidikan, institusi dan tenaga selain pemacu pendigitalan dan kecerdasan buatan.

Iklan
Iklan

Anwar, yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste berkata, kestabilan politik membolehkan Malaysia melaksanakan reformasi secara berperingkat tanpa mencetuskan perpecahan.

"Kita faham bahawa reformasi perlu dilakukan dengan bijaksana, bukan secara keras atau tergesa-gesa. Mengapa kita di Malaysia mencapai kemajuan? Pertama sekali, kerana wujudnya keamanan dan kestabilan politik,” katanya.

Iklan

Beliau juga berkata, kepimpinan berwibawa, kerjasama antara perkhidmatan awam dan sektor swasta adalah penting dalam menarik pelaburan langsung asing serta mengukuhkan pelaburan domestik sekali gus memastikan ekonomi terus berkembang.

Anwar berkata, tadbir urus yang baik adalah teras kepada kemajuan Malaysia dan memberi peringatan tegas mengenai bahaya gejala rasuah, penyelewengan dan pembaziran.

Iklan

Menyorot pendekatan fiskal berhemat pentadbirannya, beliau memaklumkan bahawa harga petrol telah berjaya diturunkan kepada RM1.99 seliter iaitu antara yang terendah di dunia hasil daripada proses perolehan yang ketat, penjimatan dalam projek tebatan banjir dan pelaksanaan subsidi bersasar.

Perdana Menteri turut menggesa rakyat Malaysia agar bangkit mengatasi politik perkauman atau wilayah sambil memberi amaran bahawa retorik bersifat perpecahan mampu meruntuhkan negara.

Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia ke arah pendigitalan, peralihan tenaga, pendidikan dan kesihatan.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Petronas atas penglibatannya di Timor-Leste sebagai manifestasi kerjasama serantau.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin. - Bernama