KLANG - Polis giat mengesan suspek terlibat dalam insiden pergaduhan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Haji Abdul Manan menghala ke Jalan Kapar, Kapar pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati pergaduhan itu melibatkan dua penunggang motosikal di lokasi kejadian.
"Polis sebelum itu menerima laporan daripada Ketua Polis Balai Bukit Raja berhubung rakaman video tular di media sosial melibatkan pergaduhan antara dua penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat.
"Selain itu, satu laporan lagi dibuat mangsa dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, semakan mendapati kejadian berlaku antara jam 8 pagi hingga 9 pagi, di simpang tiga lampu isyarat Jalan Haji Abdul Manan menghala ke Jalan Kapar.
"Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca akibat salah faham melibatkan situasi lalu lintas.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Fazlan Rezza Mazlan di talian 011-10561017, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-32912222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Terdahulu, tular insiden pergaduhan membabitkan dua penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat di Kapar pada Isnin.