Bau busuk bongkar penemuan mayat dalam kenderaan

Iklan
Bau busuk membawa kepada penemuan mayat seorang wanita dalam kenderaan pacuan empat roda di Pusat Perniagaan Diamond Square, Jalan Gombak di sini pada Selasa. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Lazim)

KUALA LUMPUR - Bau busuk membawa kepada penemuan mayat seorang wanita dalam kenderaan pacuan empat roda di Pusat Perniagaan Diamond Square, Jalan Gombak di sini pada Selasa.

Difahamkan, mayat itu dijumpai kira-kira jam 10 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, berkata berdasarkan maklumat saksi, pihaknya tidak menolak kemungkinan kenderaan tersebut berada di lokasi berkenaan sejak dua hari lalu.

"Mayat itu ditemui oleh seorang penyelia bangunan yang menjalankan pemeriksaan harian di bahagian bawah Blok C sebelum mengesan bau mencurigakan.

Iklan

"Susulan itu, penyelia terbabit memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak polis sebelum pemeriksaan dijalankan oleh pegawai dari Balai Polis Setapak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal setakat ini tidak menemui sebarang elemen jenayah di lokasi kejadian.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, polis akan menunggu laporan bedah siasat yang akan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur.

Mohamad Lazim berkata, hasil pemeriksaan juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa, namun siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengenal pasti pemilik kenderaan terbabit.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihak polis meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian ini supaya segera menghubungi Bilik Gerakan IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 bagi membantu siasatan," ujarnya.