BACHOK - Seorang anak lega apabila barang kemas milik ibunya, Hasnah Yacob, 65, tidak hangus walaupun rumah pusaka berusia 40 tahun termasuk bengkel kek di Kampung Pagar Raja di sini terbakar pada Isnin.
Sharnieyza Mat Lazim, 44, bagaimanapun berkata, kebakaran itu menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.
"Alhamdulillah, barang kemas yang tidak sempat diselamatkan semasa kebakaran tidak hangus, boleh digunakan lagi.
"Kebetulan bengkel membuat kek saya terletak di sebelah rumah mak juga terkesan namun peti sejuk beku serta ketuhar berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung walaupun barangan kek seperti tepung dan sebagainya semua musnah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut dia yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik, semasa kejadian sekitar jam 3 petang, ibunya sedang menunaikan solat Zohor.
Ujarnya, semasa rakaat kedua ibunya terkejut apabila kipas dan penyaman udara tiba-tiba tidak berfungsi serta terdengar bunyi percikan api.
"Ibu tidak sempat habiskan solat, dia terus keluar dari bilik dan terkejut melihat api sedang marak dari ruangan dapur.
"Ibu menjerit sekuat hati dan mengejutkan abang serta anak kedua saya yang kebetulan ada di rumah sedang tidur.
"Mereka terus keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri tanpa sempat mengambil apa-apa barangan," katanya.
Sharnieyza memberitahu, abanganya, Mat Sharmizi Mat Lazim, 45, hanya sempat menyelamatkan kereta jenis Proton Satria.
Tambahnya yang memiliki lima orang anak berusia lima hingga 16 tahun itu, selebihnya mereka hanya mampu melihat rumah musnah di depan mata kerana api merebak dengan cepat.
Ujar pemilik perniagaan kek bajet RM10 yang dikenali sebagai Sweet Mama Jaa itu, ahli keluarganya kini menetap di rumah inap desa buat sementara waktu.
"Buat sementara ini saya terpaksa rehat dahulu daripada membuat kek dan Insya-ALLAH akan segera kembali berniaga secepat mungkin," katanya.