PORT DICKSON - Suasana hiba menyelubungi Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson di sini apabila ibu bapa kepada arwah Muhammad Alif Iskandar Muhamad Rizal, 21, naik ke pentas bagi menerima Sijil Teknologi Seni Bina anaknya sempena Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan pada Selasa.
Wajah sugul jelas terpancar pada pasangan Muhamad Rizal Ujang, 56, dan isterinya, Intan Norshahrah Ibrahim, 50, yang tidak dapat menahan kesedihan sebaik sahaja nama arwah anak mereka diumumkan.
Muhamad Rizal berkata, walaupun anak kedua daripada lima beradik itu telah tiada, namun sijil yang diterima merupakan hadiah istimewa buat mereka sekeluarga.
Beliau menyifatkan arwah sebagai seorang anak yang baik dan peramah, selain mempunyai potensi besar untuk berjaya dalam bidang seni bina yang turut diceburi oleh beliau dan isteri.
“Perasaan hari ini sangat sedih kerana arwah merupakan pelajar cemerlang berdasarkan keputusan peperiksaan yang diperoleh sebelum ini.
“Kami nampak dia ada potensi, jadi kami dorong dia ambil jurusan seni bina kerana bidang ini mempunyai masa depan yang cerah. Tapi ajal maut di tangan ALLAH SWT, jadi kami terima dengan reda,” katanya ketika ditemui selepas majlis.
Menurutnya, arwah sempat menamatkan pengajian peringkat sijil dalam bidang seni bina di Kolej Komuniti Jempol, dan baru sahaja memulakan semester pertama peringkat diploma di Kolej Komuniti Sabak Bernam sebelum terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya.
Bercerita lanjut katanya, kemalangan berlaku ketika arwah berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur sebelum dilanggar sebuah kereta yang terbabas ketika mengejar lampu isyarat.
“Kejadian berlaku awal pagi, 21 September tahun lalu. Kira-kira dua hari lepas, genap setahun arwah pergi.
“Malam kejadian, arwah dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri program Maulidur Rasul bersama kawan-kawan sekolah tahfiz,” katanya.
Walaupun reda dengan pemergian anak tercinta, beliau tetap berharap agar keadilan dapat ditegakkan dan perbicaraan kes berkenaan dapat dipercepatkan memandangkan ia masih belum dibawa untuk sebutan semula.
Pada majlis itu, seramai 346 graduan diraikan, merangkumi 93 pelajar dari Kolej Komuniti Jempol, 182 dari Kolej Komuniti Jelebu, 40 dari Kolej Komuniti Rembau, 18 dari Kolej Komuniti Tampin dan 13 dari Kolej Komuniti Kuala Pilah.
Majlis disempurnakan oleh Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.