Kes gagal isytihar harta: Pendakwaan rayu, mohon tangguh permohonan Na'imah

Iklan
Na’imah (kanan) hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan permohonan semakan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid bagi merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung kes gagal mengisytiharkan aset yang dihadapinya.

Selepas prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin, berkata rayuan berkenaan telah difailkan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 27 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Susulan itu, beliau berkata, pendakwaan memohon prosiding untuk merujuk persoalan undang-undang di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara rayuan berkenaan didengar dan diputuskan.

"Pendakwaan baharu sahaja menerima afidavit balasan daripada pihak Na’imah berhubung isu penangguhan ini dan saya memohon mahkamah menetapkan tarikh pendengaran baharu.

Iklan

"Ini kerana pendakwaan memerlukan lebih banyak masa untuk menjawab afidavit yang difailkan pihak pembelaan pada Jumaat lalu," katanya.

Berdasarkan notis permohonan penangguhan yang difailkan pada 10 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan alasan bahawa wujud keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah menggantung prosiding sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Iklan

Pemohon meminta mahkamah menangguhkan prosiding mengikut Seksyen 30(2) dan 84 Akta Mahkamah Kehakiman sehingga rayuan didengar dan diputuskan.

Notis itu menyatakan terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan suatu perintah penangguhan atau penggantungan prosiding.

“Sekiranya rayuan di mahkamah dibenarkan, perintah Hakim Mahkamah Tinggi akan terbatal dan perintah Hakim Mahkamah Sesyen menolak permohonan responden (untuk merujuk persoalan undang-undang) akan dikembalikan.

“Pemohon menyatakan terdapat kepentingan awam dalam rayuan di Mahkamah Rayuan yang mewajarkan prosiding atau pendengaran permohonan di bawah seksyen itu ditangguh atau digantung sementara pelupusan rayuan,” kata notis itu.

Sementara itu, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na’imah berkata, pihaknya sudah bersedia untuk meneruskan prosiding pendengaran permohonan penangguhan.

Menurutnya, perkara berkenaan tidak membabitkan fakta sebaliknya hanya persoalan undang-undang.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Muniandy memerintahkan afidavit balasan difailkan pada atau sebelum 29 September depan.

Katanya, permohonan penangguhan pula akan dibuat pada 8 Oktober depan sebelum diteruskan dengan prosiding pendengaran untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan asetnya termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah lain di ibu negara dan Pulau Pinang.

Isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pada 29 Februari tahun sama, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun, pada 18 Februari lalu, Hakim Azura Alwi menolak permohonan Na’imah atas alasan ia tiada merit kerana tiada isu perlembagaan yang dibangkitkan dalam kes terbabit.

Na’imah kemudian memohon semakan terhadap keputusan itu untuk perkara berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan, namun undang-undang menetapkan ia perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi terlebih dahulu.

Mahkamah Tinggi di sini kemudiannya membenarkan permohonan Na’imah untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permintaannya merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.