Suami isteri usung mayat bayi selepas diusir keluarga, tiada wang urus pengebumian

Iklan
Sepasang suami isteri berjalan sambil mengendong jenazah bayi mereka akibat tiada tempat tinggal dan diusir keluarga. Foto Agensi

PALEMBANG – Sepasang suami isteri terpaksa menggendong mayat bayi mereka yang berusia 20 hari sambil berjalan kaki, selepas diusir keluarga baru-baru ini.

Pasangan malang itu, Joko, 40, dan isterinya, Noviyanti, 29, berdepan dugaan getir apabila bayi perempuan mereka meninggal dunia akibat masalah pernafasan setelah dirawat di Hospital Umum Daerah Palembang.

Iklan
Iklan

Lebih menyayat hati, pasangan itu tidak mempunyai wang untuk menguruskan pengebumian anak kecil mereka.

Joko berkata, pihak hospital enggan membantu proses pengebumian kerana dia masih mempunyai keluarga.

Iklan

“Saya merayu supaya anak kami dapat dikebumikan melalui pihak hospital, tetapi ditolak. Kata mereka, kami masih ada keluarga.

"Saya hanya mampu berkata, beginikah hidup kami,” luah Joko dengan nada sebak ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Sumatera Selatan (SPKT Polda Sumsel) pada malam Sabtu lalu.

Iklan

Di balai polis pasangan itu meluahkan situasi mereka. Agensi

Pasangan itu kemudian dibawa menaiki ambulans ke rumah keluarga mentua Joko di kawasan 10 Ilir.

Namun, sebaik tiba, mereka tidak diterima malah dihalau keluar.

“Kami diusir, malah dituduh membawa mayat ke rumah,” katanya dengan wajah sugul.

Menurut Joko, ini bukan kali pertama mereka kehilangan anak kerana anak sulung mereka juga meninggal dunia ketika masih kecil.

Joko, berasal dari Blitar, Jawa Timur, pernah bekerja sebagai buruh binaan, namun sejak tiga bulan lalu, dia hilang punca pendapatan dan terpaksa bergantung kepada belas ihsan orang ramai di jalanan untuk menyara keluarga.

“Sudah tiga bulan saya tidak bekerja, hanya meminta simpati di jalan untuk mencari rezeki buat isteri,” katanya.

Kehidupan tanpa tempat tinggal tetap menyebabkan mereka kerap berpindah randah dan bertahan seadanya.

Keperitan itu semakin terasa apabila terpaksa berdepan kehilangan bayi buat kali kedua.

Ketika kebingungan mengusung jasad bayi di hadapan Masjid Agung SMB Jayo Wikramo, pasangan itu ditemui seorang anggota polis, Aipda Alimin dari Balai Polis Kertapati, yang segera menghulurkan bantuan.

Mereka kemudiannya dibawa ke SPKT Polda Sumsel sebelum dibawa ke Hospital Bhayangkara.

Jenazah bayi berkenaan akhirnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Awam Kamboja dengan bantuan anggota polis yang bertugas.

Tragedi memilukan ini tular di media sosial, mengundang simpati masyarakat terhadap nasib pasangan suami isteri yang hidup dalam serba kekurangan tanpa tempat berteduh tetap. - Agensi