'Ringan sedikit kos sara hidup'

Iklan
Penurunan harga petrol kepada RM1.99 seliter melalui program BUDI95 meringankan kos pengangkutan dan perbelanjaan harian rakyat.

KUANTAN – Penurunan harga petrol kepada RM1.99 seliter melalui pelaksanaan program BUDI95 memberi manfaat kepada rakyat kerana meringankan kos pengangkutan dan perbelanjaan harian.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata pengguna mengakui perbelanjaan mereka ‘sedikit’ ringan selepas harga petrol turun.

Iklan
Iklan

Jika digunakan sebanyak 300 liter, perbezaan harga antara RM1.99 dan RM2.60 seliter menjimatkan RM183 dan ia satu manfaat yang dirasai terus oleh pengguna.

Pemilik gerai ayam, Al Imran Mat Yusof, 48, berkata, pengumuman kerajaan itu memberi kelegaan kerana penjimatan bahan api boleh digunakan untuk keperluan lain.

Iklan

“Kita sudah lama menantikan penurunan subsidi ini dan dengan pengumuman ini banyak perkara dapat dijimatkan, terutamanya kos sara hidup.

“Cuma saya berharap inisiatif ini memudahkan urusan harian rakyat dan proses dijalankan lebih teratur,” katanya ketika ditemui di Bandaraya Kuantan pada Isnin.

Iklan

Dia menambah had penggunaan 300 liter sebulan perlu diperhalusi, khususnya bagi pemilik kenderaan besar.

“Jika melebihi had, adakah harga dikembalikan kepada kadar asal? atau kalau baki tidak habis, adakah ia boleh dipindahkan ke bulan berikutnya?

“Jadi, kerajaan perlu menjelaskan perkara ini,” katanya.

Bagi pembantu kedai, Soon Tiam Kuie, 74, penurunan harga minyak memberi manfaat langsung kerana membantu mengurangkan perbelanjaan harian.

“Untuk orang seperti saya harga minyak murah sangat membantu. Walaupun sedikit, lama-kelamaan kesannya dapat dirasai,” ujarnya.

N Govindnath, 35, yang bekerja sendiri pula berkata, subsidi minyak bersasar melalui MyKad memberi kesan positif kepada rutin hariannya.

“Kos pengangkutan saya dapat dijimatkan, jadi saya boleh fokus pada kerja dan tanpa terlalu risau tentang perbelanjaan.

“Sistem ini memastikan setiap liter sampai kepada yang layak,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Safwan Mohd Hassan, 34, berkata, penurunan harga bahan bakar membantu mengurus perbelanjaan harian.

“Penjimatan minyak ini meringankan kos perjalanan dan urusan harian.

“Setiap sen yang dijimatkan boleh digunakan untuk keperluan lain atau disimpan untuk masa depan,” katanya.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melihat keputusan kerajaan untuk menetapkan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter, penurunan daripada RM2.05 bermula 30 September ini sebagai langkah praktikal untuk membantu isi rumah menguruskan kos sara hidup.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr T Saravanan berkata, bahan api kekal sebagai keperluan harian bagi kebanyakan rakyat Malaysia sama ada untuk berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah atau menjalankan perniagaan kecil.

“Sebarang pengurangan kos petrol diterjemahkan kepada penjimatan bermakna yang kemudiannya boleh disalurkan untuk makanan, pendidikan dan perbelanjaan penting lain.

“Dengan kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan utama kebanyakan rakyat Malaysia, langkah berkenaan memberikan kelegaan segera dan ketara,” kata beliau.

Bagaimanapun Saravanan berkata, walaupun subsidi membantu melindungi pengguna daripada tekanan inflasi, ia juga mesti menyeimbangkan bantuan jangka pendek dengan kelestarian ekonomi jangka panjang.

“Struktur berasaskan kuota serta langkah untuk mencegah penyalahgunaannya akan menjadi kritikal untuk memastikan faedah subsidi tidak dibazirkan,” ujarnya.