Seks bawah umur: Mufti Wilayah sokong saranan Ketua Polis Kelantan

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai cadangan Polis Kelantan agar perempuan juga dikenakan tindakan jika terlibat seks suka sama suka. (Gambar kecil: Ahmad Fauwaz)

SHAH ALAM - Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyokong saranan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat supaya tindakan undang-undang turut dikenakan terhadap pengadu atau mangsa sekiranya terbukti perbuatan seks bawah umur dilakukan secara suka sama suka.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, hukuman terhadap pesalah kes rogol bawah umur ketika ini dilihat tidak menyelesaikan permasalahan yang dihadapi malah dilihat berat sebelah kerana mengenakan hukuman terhadap kaum lelaki sahaja.

Iklan
Iklan

“Walaupun undang-undang menganggap persetubuhan dengan individu di bawah umur 16 tahun sebagai rogol, tanpa mengira persetujuan, ia menimbulkan persoalan dari sudut keadilan dan keberkesanan undang-undang kerana pihak wanita yang turut bersetuju tidak dikenakan hukuman.

“Situasi ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa undang-undang bersifat berat sebelah kerana hanya menghukum satu pihak sahaja walaupun kedua-duanya bersalah secara moral.

Iklan

“Justeru, ia menuntut penelitian semula terhadap undang-undang berkaitan jenayah rogol bawah umur suka sama suka sebagai salah satu agenda islah dan reformasi perundangan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Mohd Yusoff pada Ahad mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.

Iklan

Menurut beliau, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri ini adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.

Ujar Ahmad Fauwaz, meskipun penguatkuasaan undang-undang rogol terhadap kaum lelaki adalah wajar menurut Islam namun, wanita juga wajib dikenakan hukuman jika didapati bersalah.

“Contohnya, jika seorang wanita disabitkan kesalahan berzina, maka dia tetap akan dihukum.

"Dalam konteks rogol bawah umur suka sama suka, walaupun undang-undang sivil memberikan perlindungan kepada mangsa wanita, ia tidak seharusnya melepaskan mereka daripada tanggungjawab moral dan hukuman jika mereka turut menyumbang kepada perlakuan jenayah.

“Hukuman yang adil dan setimpal ke atas kedua-dua pihak yang bersalah akan memberikan pengajaran dan pendidikan yang lebih efektif,” ujarnya.

Kata beliau, situasi jenayah rogol bawah umur suka sama suka kini dilihat antara isu sosial yang serius dan semakin membimbangkan di negara ini.

“Berdasarkan data yang dilaporkan, kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak meningkat daripada 2,541 kes pada 2020 kepada 3,892 kes pada tahun 2024, satu peningkatan sebanyak 53.2 peratus.

“Jumlah mangsa juga meningkat dari 2,561 orang kepada 3,988 orang dalam tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 55.7 peratus,” menurutnya.