SEREMBAN - Pemandu pelancong disaran menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa asing bagi meningkatkan mutu layanan kepada pelancong luar negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya menerima aduan daripada pelancong luar negara yang menyatakan kekecewaan dengan tahap penguasaan bahasa pemandu pelancong negara ini.
"Sebelum ini kita terima aduan daripada pelancong luar yang mengatakan bahawa mereka kecewa dengan pemandu pelancong kita kerana tidak memberi penerangan secara jelas dalam sesi lawatan diadakan, sekadar 'touch and go' sahaja.
"Kalau kita sebagai pelancong pun kita akan kecewa kerana kita telah bayar pakej yang disediakan dan disebabkan itulah kita melihat keperluan untuk pemandu pelancong kita menguasai bahasa asing lain," katanya dalam sidang media pada Program Libat Urus Motac bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Sembilan di sini pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon.
Bagaimanapun katanya, MOTAC tidak menetapkan pemilihan bahasa asing tersebut, ia bergantung kepada pemandu pelancong berkenaan untuk belajar bahasa yang mereka minati.
Tambahnya, kos pembelajaran akan ditaja oleh MOTAC dengan kerjasama syarikat agensi pelancongan.
"Kita bukan suruh mereka belajar sampai ijazah, tapi sekurang-kurangnya boleh bercakap dan faham bahasa itu,"katanya.
Jelasnya, setakat Jun ini, MOTAC merekodkan sebanyak 9,386 pemandu pelancong yang berdaftar di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau meminta semua syarikat agensi pelancongan menyediakan produk dan destinasi baharu yang lebih menarik sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ini kerana ujarnya, pihaknya mendapati ada yang masih kekal menawarkan produk sama dalam pakej pelancongan mereka walaupun sudah 10 tahun.
"Mereka perlu membuat pakej dan produk baru yang lebih menarik dan kreatif untuk menarik pelancong.
"Syarikat pelancongan juga perlu sama-sama memainkan peranan mempromosikan produk yang ada di negara ini dan bukan hanya mengharapkan kementerian saja," katanya.